Lapor Arab News, Omar Mohammad Raboun, 69, berkata, dia dan isterinya Amira tidak sabar untuk menziarah Kaabah dan Madinah.

“Saya telah lama menunggu peluang ini (menunaikan rukun Islam kelima).

“Saya seorang Muslim dan tahu bahawa kehidupan kita ditangan Allah SWT,” katanya yang tidak pernah menaiki pesawat.

Perjalanan 3,000 jemaah haji dari Gaza tahun ini dijangka lebih mudah berikutan perjanjian dicapai antara Palestine Airways untuk membawa jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah terus ke Madinah.

Sementara itu, pemilik Hanief Travel Agency yang menguruskan perjalanan haji, Mohammad Abdel Bari memberitahu, urusan jemaah haji ke Mekah dan Madinah pada tahun ini telah dipermudahkan.

“Kita telah membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi dengan jemaah dijanjikan hanya akan diperiksa semasa berada di tempat pemeriksaan pertama,” katanya.

Selain itu, pegawai kanan Palestine Airways, Ramadan Barghouti berkata, syarikat itu telah menyewa pesawat lebih moden dari EgyptAir untuk membantu menerbangkan jemaah pergi dan balik dari Arab Saudi. – AGENSI