Bagaimanapun, maklum balas komuniti antarabangsa tidak sekuat atau selantang kemarahan orang ramai berbanding isu pelanggaran hak asasi manusia di Yemen, Syria, Palestin, Myanmar dan negara-negara lain.

Meskipun Barat yang dike­tuai oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dilihat lantang mengkritik tindakan China, namun suara-suara pemimpin dunia Islam umpama tidak kedengaran.

DASAR ‘MISTERI’ CHINA

Kawalan tembok besi dan pemantauan ketat oleh Beijing menjadikan China sebuah negara yang misteri, oleh itu untuk mendapatkan kebenaran yang sebenarnya adalah sesuatu yang mencabar.

Kekurangan bukti kesahihan mengenai sesuatu kebenaran menjadi halangan utama untuk me­ningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa dan menggerakkan solidariti untuk melindungi hak etnik Islam Uighur.

Krisis tersebut mencetuskan lagi ‘ketegangan’ dalam kalangan negara Islam seperti pencerobohan Israel terhadap Palestin, perang Daesh di Ye­men, Syria dan Iraq serta kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Selain itu, imej China yang dilihat mahu menamatkan dominasi AS telah menyebabkan rakyat biasa meragui kesahihan kandungan berita dan niat kumpulan hak asasi manusia serta media Barat.

Malah kemunculan media propaganda dan tapisan berita-berita yang dikawal oleh China telah menyebabkan rintihan etnik Uighur tidak dapat dide­ngari oleh masyarakat dunia.

PENGUASAAN EKONOMI CHINA

Kemerosotan penguasaan ekonomi AS akibat dasar kapitalis domestik dan antarabangsa yang gagal, khususnya perang Iraq pada 2003, menandakan berakhirnya pemerintahan unipolar dunia.

China sebagai kuasa global yang semakin berkuasa telah membentuk pakatan ekonomi dan keselamatan dengan beberapa negara yang pro dan anti-Amerika di seluruh dunia.

Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dibiayai oleh institusi kewangan antarabangsanya, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) telah menghubungkan negara-negara dari Asia ke Afrika untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian global yang memberikan kepentingan kepada pelabur China.

Sesetengah pelaburan me­rangkumi Zon Terusan Suez bernilai AS$210 juta (RM857 juta) di Mesir; perjanjian perdagangan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai AS$53 bilion (RM216 juta) dan perjanjian minyak dengan Arab Saudi bernilai AS$65 bilion (RM265 juta) selain meningkatkan pelaburan mereka di Israel dan mengekalkan kerjasama perdagangan yang kukuh bersama Iran.

Selain daripada hubungan rapatnya dengan sekutu AS di Asia Barat, China terus me­ngukuhkan kepentingan ekonomi-geopolitik menerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sebuah pakatan ekonomi serta keselamatan dianggotai oleh kebanyakan negara Eropah dan Asia.

KRISIS PEMIMPIN ISLAM GLOBAL

Meskipun terdapat bukti dan pendedahan bekas-bekas tahanan mengenai apa sebenarnya berlaku dalam kem ‘pendidikan semula’ China, namun perkara itu tidak mencukupi untuk meyakinkan pemimpin dunia Islam.

Tidak dinafikan kebanyakan negara Islam mempunyai ciri-ciri autoriti yang sama, di mana penindasan terhadap rakyat mereka sendiri adalah satu perkara biasa.

Oleh itu, kritikan dan bantahan terhadap China mengenai penderitaan etnik Uighur itu akan menjadi tidak produktif.

Bukan sahaja tindakan mereka dilihat mencampuri hal eh­wal dalaman China, tetapi negara-negara yang membantah juga tidak mempunyai kredibiliti untuk membicarakan mengenai hak asasi manusia.

Perkembangan ini mungkin menjelaskan sikap berdiam diri dalam kalangan negara Islam terhadap Uighur.

Membantah China berhubung layanannya terhadap Uighur, dari kaca mata pe­mimpin Islam termasuk Turki, mungkin tidak ‘berbaloi’ untuk hilang keistimewaan berkaitan ekonomi serta pakatan keselamatan.

Walaupun China adalah kuasa besar dunia yang sukar untuk ditangani, namun pengaruh global dimilikinya dilihat sebagai alternatif untuk melemahkan penguasaan AS yang dilihat semakin merosot berbanding sebelum ini.