Pesawat tanpa pemandu (UAV) MAGMA tersebut direka untuk terbang tanpa aileron dan flaps, dan kawalan penerbangan dihasilkan menerusi aliran udara supersonik yang keluar menerusi celahan pada bahagian belakang sayap UAV berkenaan.

Penerbangan percubaan pertama UAV itu semalam berjaya dilaksanakan sekaligus mendorong kepada pemajuan teknologi baharu yang boleh menghasilkan pesawat terbang yang lebih ringan dan lebih murah untuk dioperasikan.

Di samping itu juga, ia membuka lebih peluang kepada penghasilan teknologi halimunan yang lebih berkesan dengan rekaan fiuslaj yang lebih radikal.

Pesawat konvensional beroperasi apabila daya tujahan yang dihasilkan enjin mendorong pesawat tersebut ke hadapan, sekaligus menghasilkan daya angkatan. Dan bagi tujuan navigasi, daya angkatan tersebut dimanipulasikan menerusi aileron dan flaps bagi membolehkan pesawat tersebut ke kiri dan ke kanan, atau ke atas dan ke bawah.

MAGMA dibangunkan secara usahasama di antara Universiti Manchester, United Kingdom bersama firma teknologi ketenteraan, BAE Systems.

"MAGMA merupakan satu contoh di mana usahasama dengan cendekiawan universiti berjaya membuahkan penyelidikan dan inovasi yang mengagumkan," kata Ketua Bahagian Teknologi, BAE Systems Air, Julia Sutcliffe, dalam satu kenyataan, semalam. - UTUSAN ONLINE