Ikrar tersebut disuarakannya ketika mengadakan pertemuan dengan barisan pemimpin politik Arab berketurunan Israel sebelum menyambut ketibaan Raja Jordan, Raja Abdullah II di sini semalam.

Mail Online melaporkan, Recep Tayyip yang sebelum ini digelar sebagai pemimpin diktator anti-Semitik oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan tidak akan berpaling tadah apabila melibatkan Palestin.

Sepanjang dua jam perbincangan yang diadakan di Kediaman Presiden di Tarabaya, Recep Tayyip mengulangi pendiriannya untuk mencari apa jua jalan dan berkongsi pendapat bersama negara-negara Islam bagi melepaskan penduduk Palestin daripada cengkaman Zionis.

Beliau juga komited untuk mengembalikan kestabilan di Palestin sebelum ‘berterima kasih kepada penduduk Arab berketurunan Israel yang mewakili penduduk Palestin dalam Parlimen Israel’ atau Knesset.

ISRAEL TIDAK PEDULI HAK PALESTIN

Recep Tayyip menyelar tindakan Israel kerana tidak mengendahkan hak penduduk Palestin apabila memperkenalkan undang-undang negara Yahudi.

Rang undang-undang tersebut diluluskan dalam Knesset pada Julai tahun lalu, menyaksikan Palestin dijadikan negara Yahudi dan Hebrew sebagai bahasa rasmi.

Turki memihak kepada penyelesaian dua negara melibatkan konflik antara Palestin dan Israel dengan menjadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Pada Mei lalu, Turki mengarahkan supaya Duta Israel ke negara ini meninggalkan Ankara berhubung pembunuhan puluhan penduduk Palestin di Gaza oleh tentera Israel.

JORDAN, ISRAEL TEGANG

Dalam pada itu, hubungan tegang antara Jordan dengan Israel semakin memuncak berhubung beberapa isu termasuk status Baitulmuqaddis dan kawasan-kawasan suci, rundingan damai Asia Barat yang tertangguh dan insiden tembakan dua rakyat Jordan oleh pengawal keselamatan di Kedutaan Israel di Amman pada 2017.

Keadaan itu ditambah pula dengan Israel merasmikan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu berhampiran Laut Merah dan Jordan secara lantang mengkritik lokasi lapangan terbang berkenaan.

Jordan menegaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon itu mencabul tahap piawaian antarabangsa berhubung ruang udara yang dihormati dan kedaulatan memandangkan lokasinya yang terletak kurang 0.8 kilometer dari kawasan sempadannya.

Pada Oktober lalu, Raja Abdullah juga mengumumkan tidak akan memperbaharui perjanjian damai dengan Israel, selain menyatakan hasrat untuk mengeluarkan dua lampiran daripada perjanjian damai 1994 yang membenarkan Israel untuk memajak dua kawasan kecil iaitu Baqura dan Ghamr daripada rakyat Jordan selama 25 tahun.

Dalam perjanjian tersebut, Jordan bersetuju memberi akses percuma kepada golo­ngan petani dan pegawai ketenteraan Israel memasuki dua kawasan berkenaan.

NASIB TIPH DI HEBRON

Sementara itu, Turki juga menyelar keputusan Israel untuk tidak memperbaharui mandat kepada kumpulan pemerhati awam antarabangsa (TIPH) di bandar Hebron.

TIPH ditubuhkan selepas penduduk Yahudi di penempatan haram didakwa membunuh 29 penduduk Palestin di Hebron pada 1994.

Kementerian Luar Turki berharap Israel akan menarik balik keputusan tersebut dan menolak dakwaan bahawa TIPH bersikap berat sebelah terhadap Israel seperti yang didakwa Netanyahu sebelum ini.