Lapor portal RT, tindakan itu susulan pihak berkuasa tempatan Uttarakhand bimbang penduduk di sekitar bandar Uttarkashi melakukan kegiatan tersebut bagi mengelakkan kelahiran bayi perempuan.

Walaupun penguguran janin perempuan telah diharamkan di India sejak 1994, amalan itu dikhuatiri masih berterusan di kawasan luar bandar, yang mana kanak-kanak perempuan sering dianggap sebagai liabiliti kewangan bagi keluarga mereka.

Majistret daerah Uttarkashi, Ashish Chauhan menyifatkan jumlah kelahiran itu meragukan selain menunjukkan amalan diharamkan itu terus berleluasa di wilayah berkenaan.

Tambah beliau, mana-mana ibu bapa yang didapati sengaja melakukan pengguguran janin dalam kandungan akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Jelas laporan itu, seba­nyak 132 perkampungan yang merekodkan tiada kelahiran bayi perempuan ditempatkan dalam kedudukan ‘zon merah’, bermakna data populasi masa depan dari perkampungan itu akan diteliti dengan lebih berhati-hati.

Dalam pada itu, wakil rakyat tempatan, Gopal Ravat berkata, pihaknya telah mengarahkan jabatan kesihatan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar serta mengambil tindakan serius untuk menyelesaikan perkara itu.

“Amat mengejutkan untuk mempunyai kadar sifar kelahiran kanak-kanak perempuan di 132 perkampungan itu, jarang dengar atau melihat kejadian pengguguran janin di kawasan itu,” katanya. AGENSI