Songkran yang juga dikenali sebagai pesta air menarik berpuluh-puluh ribu pelancong dari seluruh dunia untuk meraikan pesta ini yang disambut meriah terutama di Bangkok, Chiang Mai, Pattaya, Phuket dan Hatyai.

Penduduk tempatan mengunjungi kuil serta melakukan upacara memandikan patung-patung Buddha, ritual yang mengikut kepercayaan mereka bagi membuang sial. Ia juga sebagai hari keluarga bagi mereka yang bekerja di perantauan untuk meluangkan masa bersama orang tersayang.

Di Bangkok, cuaca yang panas terik tidak menghalang penduduk tempatan dan pelancong membanjiri kawasan-kawasan di Khaosan Road, Silom Road dan kawasan membeli-belah Ratchaprasong untuk meraikan festival itu.

Walaupun pihak berkuasa tempatan berkata perayaan di lokasi simbahan air yang paling popular di Thailand, Khaosan Road akan diadakan berskala kecil disebabkan persiapan bagi istiadat pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn yang ditetapkan dari 4 hingga 6 Mei tetapi ia tidak menjejaskan kemeriahan masyarakat negara itu menyambut Songkran.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) baru-baru ini mengumumkan bahawa tahun ini ia tidak akan menganjurkan sebarang persembahan hiburan dan acara di Khaosan Road.

Walaupun pihak berkuasa berkaitan menyeru rakyat negara itu supaya menjimatkan penggunaan air, penduduk tempatan dan pelancong membanjiri jalanan sambil menyimbah air antara satu sama lain. Gesaan itu tidak pernah melegakan mood untuk pertempuran air.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand juga memberi amaran kepada pengguna media sosial untuk tidak berkongsi gambar dan video mengenai wanita dan golongan transgender yang berpakaian tidak sopan semasa sambutan Songkran. Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara lima tahun dan/atau denda maksimum 100,000 baht.

Perayaan Songkran adalah cuti hujung minggu yang panjang untuk penduduk tempatan yang kebanyakan kembali ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut festival itu bersama keluarga kerana Kabinet telah meluluskan untuk melanjutkan cuti hingga lima hari dari 12 hingga 16 April.

Sementara itu, statistik menunjukkan bahawa kira-kira 300 hingga 400 orang rakyat Thailand maut setiap tahun dalam nahas jalan raya semasa cuti selama seminggu sempena sambutan itu.

Tahun lepas, 418 orang maut dan 3,879 orang cedera. Memandu dengan laju dan mabuk dikenal pasti sebagai punca kemalangan.

Menurut Pusat Pengarah Keselamatan Jalan Raya Thailand hari ini, sebanyak 105 kematian dan 1,001 kecederaan dilaporkan padfa dua hari pertama cuti tersebut. - BERNAMA