Mail Online melaporkan, teksi terbang yang dicipta oleh Alaka’i Technologies itu mempunyai enam buah rotor yang dipasang pada bahagian bumbung kenderaan terbabit serta boleh memuatkan lima penumpang dalam satu masa.

Prototaip teksi terbang yang diberi nama Skai itu didedahkan buat pertama kali di sini dan syarikat berkenaan memaklumkan kenderaan masa depan itu boleh digunakan untuk membawa kargo dan berfungsi sebagai ambulans udara.

Seperti dron, teksi terbang itu berlepas dan mendarat secara menegak dan mampu membawa muatan seberat 454 kilogram serta bergerak selaju 120 kilo­meter sejam.

Pencipta kenderaan futuristik itu memaklumkan, teksi terbang tersebut akan mengambil masa sehingga 10 tahun sebelum benar-benar beroperasi, namun berharap boleh digunakan terlebih dahulu dalam sektor kecemasan.

Golongan pakar pula berpendapat, kenderaan jenis itu perlu melepasi pelbagai ujian dan kelulusan sebelum dibenarkan terbang di ruang udara.

Skai menjadi satu lagi pelopor kenderaan masa depan selepas dua syarikat pengeluar pesawat, Boeing dan Airbus membangunkan teknologi yang menggunakan kuasa hidrogen.

Prototaip yang dihasilkan kedua-dua syarikat tersebut dilaporkan berjaya melepasi ujian pada awal tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Alaka’i Technologies, Stephen Hanvey, Skai menggunakan bateri yang dijana de­ngan kuasa hidrogen, sekali gus menjadikannya lebih ringan dan fleksibel.