Keputusan untuk menambahkan tapak kebudayaan China itu telah disokong oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Warisan Dunia pada sesi ke-43 yang sedang berlangsung di Baku, ibu negara bagi Azerbaijan, memandangkan tapak itu menunjukkan bukti kepada peradaban China yang berusia lebih 5,000 tahun dan berdiri sebagai satu warisan yang sah serta berada dalam keadaan baik.

Terletak di kaki bukit di timur Gunung Tianmu di sebuah dataran yang silang-menyilang oleh satu rangkaian sungai, runtuhan Liangzhu itu pernah pada satu ketika menjadi pusat bagi kuasa dan kepercayaan bagi sebuah negeri serantau awal di sekitar Tasik Taihu.

Pada tahun 1936, Shi Xingeng, seorang penyelidik dengan Muzium West Lake, telah menjalankan kaji selidik dan penggalian yang meluas di Liangzhu di pinggir Hangzhou, ibu kota bagi Zhejiang, di mana beliau menemui banyak tapak prasejarah. Budaya Liangzhu itu telah dinamakan secara rasmi pada tahun 1959.

Sejak tahun 1970-an, runtuhan Liangzhu itu telah digali, diselidik dan dipelihara melalui pelbagai usaha arkeologi di Jiangsu, Shanghai dan Zhejiang, sekali gus memperkayakan Budaya Liangzhu dari segi kehidupan material, bentuk penempatan, struktur organisasi, pembezaan hierarki, kepercayaan rohani, sistem etiket dan proses ketamadunan. Dengan penemuan Bandar raya Liangzhu, sebuah bandar purba prasejarah yang telah hilang selama lebih 4,000 tahun telah muncul pada tahun 2007. - BERNAMA