Portal berita BBC melaporkan, laporan sulit itu menyatakan Pyongyang menyasarkan bank dan pertukaran mata wang kripto untuk mengumpulkan wang tunai.

Sumber mengesahkan kepada BBC bahawa, PBB sedang menyiasat 35 kes serangan siber ketika beberapa orang pakar juga menjalankan siasatan terhadap aktiviti itu yang direka untuk mendapatkan mata wang asing.

Laporan yang dihantar kepada Jawatankuasa Sekatan Korea Utara di bawah Majlis Keselamatan PBB menyatakan bahawa, Pyongyang `menggunakan ruang siber untuk melancarkan sera­ngan canggih bagi mencuri dana dari institusi kewangan dan pertukaran mata wang kripto untuk menjana pendapatan.

Tambah laporan tersebut, serangan Korea Utara terhadap pertukaran mata wang kripto juga membenarkan negara ini menjana pendapatan dengan cara lebih sukar untuk dikesan dan tertakluk kepada kawalan dan peraturan kerajaan yang kurang ketat berbanding sektor perbankan tradi­sional.

Laporan itu turut memaklumkan Pyongyang melanggar sekatan PBB dengan cara pemindahan dari kapal ke kapal lain secara tidak sah serta mendapatkan barangan berkaitan senjata pemusnahan secara besar-besaran.

Semalam, Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu ke Laut Timur, kali keempat dalam tempoh kurang dari dua minggu.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dalam kenyataan hari ini berkata, pelancaran peluru berpandu itu merupakan amaran terhadap latihan ketenteraan bersama yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

Pyongyang menyifatkan latihan ketenteraan itu melanggar perjanjian keamanan yang dipersetujui sebelum ini. – AGENSI