Al-Jazeera melaporkan, hal demikian kerana banjir tersebut ‘menyapu’ sebahagian sebuah pusat pelupusan lama sekali gus ‘mengheret’ beribu-ribu tan sampah termasuk plastik ke kawasan laut.

Keadaan itu menyebabkan sampah sarap berkenaan akan ‘terkubur’ di dasar laut untuk tempoh berdekad lamanya.

“Kami difahamkan sampah itu telah hanyut di sepanjang garis pantai yang luas. Kemungkinan komponen sisa dari tapak pelupusan Fox River akan berakhir di laut dalam,” jelas Joshu Mountjoy, ahli geosains marin di Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Kebangsaan New Zealand.

Pencemaran sampah di laut mempunyai kesan besar terhadap kehidupan marin de­ngan plastik boleh menjadi sangat berbahaya, dan selain plastik, bahan toksik juga mampu mencemarkan lautan.

“Ikan boleh menyerap bahan-bahan toksik dan ‘menyimpannya’ di dalam badan haiwan itu. Bahan ini meneruskan rantaian makanan sehingga manusia memakan ikan dan kita dapat menyerap bahan kimia tersebut, yang dapat menjejaskan kesihatan,” jelas Jeff Seadon, seorang jurutera alam sekitar di Universiti Teknologi Auckland.

Oleh kerana perubahan iklim menyebabkan lebih banyak kejadian cuaca melampau dan kenaikan paras laut, terdapat kebimbangan banjir yang sama akan melanda tempat-tempat pembuangan sampah di seluruh dunia yang terdedah kepada kejadian sama di South Island.

Bulan lalu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerbitkan laporan mengenai amalan pengurusan sisa di negara-negara kepulauan kecil membangun.

Laporan itu mengenal pasti tapak pelupusan sampah yang berdekatan dengan sungai sebagai isu utama.

“Laporan ini boleh digunakan kepada kebanyakan 11,000 pulau yang didiami di seluruh dunia. Sisa termasuk sisa berbahaya, yang dapat meracuni kehidupan marin dan menjejaskan manusia, kemungkinan akan hanyut ke laut,” jelas Seadon.

Satu kajian terbaharu di Laut Mediterranean di Sicily mendapati sejumlah besar sampah dikesan di kedalaman 1,000 meter, juga dihanyutkan selepas berlaku banjir kilat.

Ini termasuk botol, cawan, permainan, paip, tayar kereta, batu bata dan cerucuk simen. – AGENSI

“Jika ada yang masih ragu-ragu bahawa sampah yang kita buang boleh berakhir di laut dalam, ini (penemuan di Laut Mediterranean) adalah bukti,” jelas Mountjoy.