Ketua Setiausaha SPR Thailand, Jarungvith Phumma berkata, agensi itu mempunyai 60 hari mulai Ahad untuk menyiasat sebarang kes pelanggaran Undang-Undang Pilihan Raya semasa tempoh berkempen dan pada hari pengundian.

"Kami menjangkakan terdapat banyak kes yang perlu disiasat," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, SPR Thailand akan mengira undi bagi pemilihan 150 anggota Parlimen daripada calon yang disenaraikan parti politik selepas keputusan rasmi diumum.

Sejumlah 92,320 pusat undi telah dibuka mulai pukul 8 pagi dan ditutup pukul 5 petang waktu tempatan pada Ahad.

Sejumlah 51,205,624 pengundi layak mengundi bagi memilih 500 wakil rakyat, yang menyaksikan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan manakala 150 lagi dipilih daripada calon yang disenaraikan parti politik.

Jarungvith juga berkata, SPR Thailand menerima sejumlah 91 aduan termasuk 58 kes pelanggaran Undang-Undang Pilihan Raya dan 33 kes yang melibatkan aduan terhadap pegawai pilihan raya.

"SPR akan menyiasat kesemua kes ini," katanya.

Beliau berkata, SPR Thailand turut menerima sejumlah 21 aduan (tidak termasuk dalam 91 kes) berkaitan tindakan pengundi mengoyak kertas undi di beberapa wilayah seperti Lamphoon, Bangkok dan Chiang Mai.

Selain itu, Jarungvith berkata, SPR Thailand akan menyiasat isu berkaitan kertas undi dari New Zealand membabitkan sejumlah 1,500 pengundi yang belum diterima tepat pada masanya untuk pengiraan.

"Kami akan memutuskan sama ada kertas undi terbabit akan dikira atau sebaliknya," katanya sambil menambah bahawa kertas undi itu telah dihantar dari New Zealand pada 18 Mac dan sepatutnya diterima pada 22 Mac. - BERNAMA