Detik News yang memetik Pengarah Program TKN, Aria Bima sebagai berkata, ke­dua-dua pemimpin itu dilihat mendukung visi serta agenda tersendiri.

Hal itu katanya, diterjemah dalam bentuk ucapan masing-masing yang memperlihatkan mereka tiada kesepakatan.

“Berbeza dengan pemimpin TKN, calon Naib Presiden nombor satu, Ma’ruf sentiasa menghormati dan membawa suara Jokowi,” katanya di program TKN di Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU), Menteng, Jakarta, semalam.

Aria mendakwa, calon Naib Presiden nombor dua, Sandiaga pula disebut tidak menghadiri atau jarang kelihatan dalam mana-mana program Prabowo.

“Saya tidak faham sama ada Sandiaga bergerak secara bera­singan atas visi dan misi sendiri atau sebaliknya kerana saya tidak pernah melihat beliau menyentuh mengenai gagasan Prabowo,” tambahnya.

Beliau menyebut contoh program ‘One Kecamatan, One Center of Entrepreneurship’ yang digerakkan oleh Sandiaga.

Menurutnya, Prabowo tidak pernah menawarkan program berkenaan kepada rakyat pada setiap kempen pilihan raya.

“Malah saya sendiri tidak lihat Sandiaga menjelaskan visi serta misi Prabowo, program Prabowo,” katanya.

Dalam soal selidik yang dijalankan oleh akhbar Kompas mendapati, 89.7 peratus daripada responden menyatakan mereka lebih yakin dengan gabungan Jokowi-Ma’ruf berbanding Prabowo-Sandiaga.

Kajian yang dilakukan dari 22 Februari hingga 5 Mac lalu itu melibatkan 2,000 responden dari 34 wilayah di Indonesia.