Lapor Bangkok Post, berdasarkan undian tidak rasmi, Parti Pheu Thai memperoleh sebanyak 125 kerusi namun parti itu diekori rapat parti proksi tentera Thailand, Parti Palang Pracharat di tempat kedua dengan 89 kerusi setakat pukul 9 malam.

Bagaimanapun, keputusan tidak rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan Pheu Thai memperoleh sedikit undi dengan Palang Pracharat memenangi banyak kerusi di kubu kuat Thaksin di utara Thailand.

Keputusan awal itu menunjukkan Pheu Thai mempunyai undi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan majoriti sebagaimana diharapkan untuk membentuk satu ‘barisan demokratik’.

Parti pro-demokrasi memerlukan sekurang-kurangnya 376 kerusi di Dewan Perwakilan untuk membentuk kerajaan jika kesemua 250 senator dilantik junta seperti dijangka menyokong Palang Pracharat dan parti lain yang memihak tentera.

Parti pro-tentera, Palang Pracharat yang mahu mengekalkan Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri juga memerlukan rakan gabu­ngan namun mereka mempunyai kelebihan berdasarkan peraturan pilihan raya.

Berdasarkan Perlembagaan baharu, Perdana Menteri baharu akan dipilih oleh 750 anggota Parlimen iaitu 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 anggota Dewan Senat.

Sesebuah parti politik perlu menang 376 kerusi susulan sistem pemilihan baharu bagi membolehkannya melantik Perdana Menteri.

RAKYAT TERUJA MEMILIH

Dengan penuh semangat dan keterujaan, ribuan orang berpusu-pusu ke pusat pengundian sejak sebelum subuh untuk tidak melepaskan peluang me­laksanakan hak mereka dalam pilihan raya pertama negara itu sejak rampasan kuasa tentera hampir lima tahun lalu.

Rakyat Thailand sudah ber­atur di lebih 93,200 pusat pe­ngundian di 77 wilayah di negara ini sebelum ia dibuka pada pukul 8 pagi waktu tempatan, dengan harapan ‘suara mereka didengari dalam bentuk undi’.

Lebih 51 juta pengundi me­ngundi bagi memilih 500 wakil ke Dewan Perwakilan, di mana 350 daripada mereka dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan, manakala 150 akan dilantik menerusi senarai perwakilan parti.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha menyertai beribu-ribu rakyat Thailand mengundi di Soi Pradipat 5, Daerah Thai Phaya pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan

Prayuth, yang dikenali de­ngan nama samarannya ‘Uncle Tu’ adalah calon Perdana Menteri untuk Parti Palang Pracharat berkata: “Saya sangat teruja untuk rakyat.

TITAH DIRAJA

Sementara itu, Raja Maha Vajiralongkorn dalam titah diraja semalam, menyeru rakyat supaya menyokong ‘orang yang baik untuk memimpin dan halang mereka yang jahat daripada mendapat kuasa dan me­nimbulkan kekacauan’.

Beliau berharap semua warga serta pegawai kerajaan termasuk penjawat awam, anggota tentera dan polis memastikan keselamatan negara dan kemakmuran rakyat. Terdapat 11,181 calon kawasan pilihan raya dan 2,917 calon senarai parti daripada 82 parti politik mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

PENGUNDIAN BERJALAN LANCAR

Semua stesen mengundi akan ditutup pada 5 petang sebelum bermulanya proses pe­ngiraan undi.

Parti yang baharu ditubuhkan dan pro-junta, Parti Palang Pracharat bertanding di 350 kerusi kawasan dan 120 kerusi senarai parti manakala Parti Demokrat (350 kerusi dan 150 senarai parti); Pheu Thai (250 kerusi dan 97 senarai parti); Parti Future Forward (350 kerusi dan 124 senarai parti).

Minggu lalu, 86.98 peratus daripada 2.6 juta pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata pro­ses pengundian di 92,320 pusat mengundi di seluruh Thailand hari ini berjalan lancar.

Pengerusi SPR, Itthiporn Boonprakong berkata beribu-ribu pengundi memenuhi pusat me­ngundi yang dibuka sejak 8 pagi dan ditutup pada 5 petang ini.

Kira-kira 2,000 pegawai pi­lihan raya dan hampir 800,000 kakitangan bertugas di semua pusat mengundi di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Tentera Wilayah 4, Kolonel Promote Prom-in berkata, pasukan keselamatan ditugaskan untuk mempertingkatkan tahap ke­selamatan di semua pusat me­ngundi.

“Kami siap siaga dengan helikopter dan kenderaan untuk membantu dan memindah peti undi jika berlaku situasi yang tidak diingini,” katanya. – AGENSI/BERNAMA