Beliau berkata demikian selepas Prabowo mendakwa unggul mendahului Capres nombor satu, Joko Widodo (Jokowi) de­ngan 62 peratus pada pilihan raya Presiden (Pilpres).

“Jika kamu mahu, kami akan bentangkan datanya. Tetapi jika kamu meminta kami membentangkan data, adakah mereka mahu membentangkannya ju­ga?” soal Vermonte dalam sidang akhbar di Kebon Sirih, Jakarta Pusat di sini.

Vermonte se­perti dipetik portal Tribunnews.com sebagai berkata, hasil hitung cepat yang dikeluarkan lembaga survei menggunakan kaedah saintifik dan boleh dibuktikan kebenarannya.

“Penilaian undi keluar dan hitung cepat kami adalah aktiviti saintifik yang ada kaedahnya dan terbukti.

“Ini bukanlah kesilapan atau aktiviti yang disebut menipu orang ramai. Kita adalah saintifik dan tidak main-main,” tegasnya.

Terdahulu, pi­haknya juga sudah memaklumkan kepada orang ramai bahawa hitung cepat bukanlah keputusan rasmi dan menyarankan agar menunggu pengumuman daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 22 Mei nanti.

“Berhubung hitung cepat dan undi keluar, kami tegaskan keputusan akhir ada pada KPU. Kita juga tidak pernah menyatakan bahawa hasil hitung cepat dan undi keluar adalah keputusan rasmi,” katanya.