Hakim John McConnell menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Thomas Goodman, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Hakim tersebut dalam keputusannya berkata, perbuatan terkutuk tertuduh tidak boleh diterima akal yang waras dan tahap kehinaan perbuatan lelaki itu adalah sesuatu tidak terfikir oleh sesiapa.

“Tertuduh telah menghabiskan masa enam tahun mendera secara seksual dua kanak-kanak perempuan sejak mereka berusia enam tahun,” katanya.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan memaklumkan Goodman turut merakamkan perlakuan tidak bermoralnya yang menyentuh bayi berusia tiga minggu secara seksual.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan dijalankan oleh Pasukan Petugas Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak (ICAC) dengan menyerbu kediaman lelaki itu, analisis forensik terhadap peranti elektronik serta soal siasat dengan tertuduh mendapati tertuduh memiliki kira-kira 7,800 keping gambar dan 370 video pornografi kanak-kanak.

Detektif ICAC turut mendapati sekurang-kurangnya terdapat 62 video dan 135 keping gambar pornografi kanak-kanak bawah umur yang dirakam antara September 2007 dan Februari 2018.

Lelaki terbabit juga dilaporkan telah mengadakan hubungan seks dengan tiga kanak-kanak bawah umur.

Ketika mendengar hukuman tersebut, Goodman dilaporkan telah pengsan dan jatuh bersebelahan meja di ruang mahkamah berkenaan.

Selepas sedar semula beberapa minit kemudian, mahkamah meneruskan prosiding jatuh hukuman dengan mengenakan hukuman penjara 30 tahun bagi setiap lapan pertuduhan eksploitasi seksual kanak dan penjara 20 tahun atas satu pertuduhan memiliki bahan pornografi sadistik kanak-kanak.

Goodman diarahkan untuk menjalani hukuman tersebut secara berasingan.

Hakim McConnell sebelum menjatuhkan hukuman tersebut menyatakan, dia tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa Goodman akan berhenti melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Satu-satunya cara yang saya boleh buat ialah memastikan awak tidak akan keluar daripada penjara,” ujar hakim itu.

Tertuduh juga diarahkan untuk membayar denda AS5,000 (RM20,388) bagi setiap sembilan pertuduhan yang diakuinya mengikut Akta Keadilan bagi Mangsa Pemerdagangan.

Peguam bela Goodman memohon mahkamah merendahkan hukuman dengan alasan anak guamnya pernah dicabul oleh gurunya sendiri ketika kanak-kanak.

Goodman ditahan pada Mei tahun lalu selepas majikannya, pembuat kapal selam, Electric Boat menyita telefon bimbit tertuduh kerana melanggar polisi syarikat dengan mengguna gajet terbabit sewaktu berada di kawasan syarikat.

Kesilapan tersebut membolehkan pihak majikan membuat laporan polis berhubung kandungan pornografi kanak-kanak yang dijumpai dalam telefon bimbit terbabit dan menyerahkan peranti itu untuk siasatan lanjut. – The DailyMail