Ketua Pegawai Eksekutif pusat itu, Profesor Madya Dr. Noppadon Kannika berkata, rata-rata responden terbabit mengakui sukar bagi mereka untuk beralih kepada OS itu yang menjadi antara usaha Huawei menggantikan sistem Android.

“Hanya 31.5 peratus responden yang sebaliknya bersetuju untuk beralih kepada OS HongMeng manakala 27.7 peratus pula masih belum membuat keputusan beralih atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan yang dilakukan pada 1-15 Jun lepas, bertujuan mendapatkan pandangan pengguna mengenai OS HongMeng yang bakal dilancarkan.

Majoriti atau 87.7 peratus responden tinjauan itu adalah rakyat Malaysia, 4.6 peratus China manakala 7.7 peratus adalah warga Indonesia, Thailand dan lain-lain.

Seramai 39.5 peratus mewakili generasi X, generasi Y (26.7 peratus), generasi Z (20.3 peratus) dan 13.5 peratus adalah generasi ‘baby boomers’ (lahir pada 1946-1964) dan lain-lain.

Huawei yang berpangkalan di Shenzhen, China, merupakan pembuat telefon pintar kedua terbesar di dunia dari segi jualan.

Perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang terus berlanjutan menyaksikan Washington bertindak menyenaraihitam Huawei dan menyebabkan syarikat itu kehilangan akses terhadap Android dan Intel Google.

Mengulas perang dagangan itu, Noppadon berkata 50.1 peratus responden bersetuju bahawa pertikaian itu terbukti telah menjejaskan para pengguna. - BERNAMA