New York Post melaporkan, Institut Antartik Chile (INACH) menyokong penyelidikan berkaitan biomolekul yang digelar sebagai Antartina, sempena nama tumbuhan di kawasan tersebut.

Hasil kajian mereka menunjukkan keputusan awal yang positif dalam mengurangkan kanser usus, buah pinggang dan gastrik pada tikus.

Selain itu, mereka juga mengkaji lichen iaitu sejenis komposit mikroorganisma yang hidup di Antartika, dikatakan mampu merawat penyakit Alzheimer, eczema, menyingkirkan laktosa dari susu serta meningkatkan penanaman salad.

Pangkalan Escudero milik Chile di wilayah ini bertindak sebagai hab penyelidikan dan lebih 300 saintis antarabangsa menjalankan kajian di situ.

Dalam perkembangan berlainan, satu pasukan multinasional turut menjalankan lawatan penyelidikan bagi mencari punca rekahan pada rak ais, fenomena yang dikaitkan dengan pemanasan global.

“Terdapat pelbagai teori berkaitan perubahan suhu laut yang menjejaskan platform ais atau mempunyai kaitan dengan perubahan air dan salirannya,” kata ahli glaciologi, Shelley MacDonell.

Pasukan yang diketuai oleh MacDonell itu mahu meramalkan bila dan di mana rak ais itu akan merekah pada masa akan datang.

Saintis berharap penyelidikan mereka akan membantu mencorakkan kembali bentuk muka bumi rantau terbabit dalam beberapa dekad akan datang.

“Ini merupakan situasi baharu mengenai ekosistem Antartika yang perlu dikaji dengan segera seperti senario pemanasan global yang akan berlaku,” kata pengarah INACH, Marcelo Leppe. – AGENSI