MITSUHIRO IWAMOTO bercakap kepada media di pangkalan udara Atsugi di wilayah Kanagawa selepas dia diselamatkan apabila kapalnya dilanggar paus lalu karam pada 21 Jun 2013. - AFP

Mitsuhiro Iwamoto tiba di pelabuhan di Fukushima hari ini, dua bulan selepas dia berlayar dari California, Amerika Syarikat (AS).

Iwamoto, 52, berlayar dari California bersama-sama Doug Smith, pemandu arah dari AS yang membantunya dengan memberi maklumat seperti arah angin secara lisan.

Ini merupakan percubaan keduanya selepas usahanya sebelum ini terbantut enam tahun lalu selepas kapalnya dilanggar ikan paus lalu karam.

“Saya kembali. Terima kasih.

“Saya tidak berputus asa dan mimpi saya menjadi kenyataan,” kata Iwamoto selepas kapalnya berlabuh di Fukushima, menamatkan perjalanan sejauh kira-kira 14,000 kilometer.

Menurut laporan Kyodo News, ia merupakan pelayaran pertama merentasi Lautan Pasifik dilakukan oleh pelayar buta.

Iwamoto yang hilang deria penglihatan sejak berusia 16 tahun, melakukan pelayaran berkenaan bagi meningkatkan dana bagi aktiviti kebajikan termasuklah usaha mencegah penyakit buta. - AFP