Arab News melaporkan, Naila yang juga pegawai polis Muslim New Zealand paling kanan kini berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji bersama 200 jemaah dari negara itu selepas menjadi tetamu Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud.

“Sebagai seorang Islam, anda mengimpikan untuk melihat Kaabah dan pergi ke Mekah serta Madinah. Saya sebak apabila melihatnya (Kaabah) pagi ini.

“Tetapi, saya juga berada di sini demi mangsa, wanita dan ibu tunggal yang terkesan de­ngan kejadian di Christchurch,” katanya menerusi satu video yang dirakam baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Gabenor Mekah, Putera Khalid Al-Faisal memberitahu kira-kira 329,000 individu dihalang masuk ke tanah suci berikutan ketiadaan permit haji yang sah.

Pada masa yang sama, 144,000 kenderaan tanpa permit dihalang masuk ke Mekah dengan 15 indiviu ditahan kerana menghantar jemaah secara haram ketika kira-kira 188 pejabat pengurusan haji palsu turut diarahkan tutup.

Sementara itu, pasukan ke­selamatan Arab Saudi mengambil bahagian dalam perarakan ketenteraan yang dianjurkan semalam sebagai persediaan musim haji tahun ini.

Kira-kira 1.6 juta jemaah dilaporkan telah tiba di Mekah untuk menyempurnakan rukun Islam kelima itu. – AGENSI