Lapor portal stuff.co.nz, upacara berkenaan akan diadakan di Hagley Park dan bakal diketuai secara bersama oleh kerajaan New Zealand, pentadbiran bandar Christchurch, komuniti Muslim dan Ngai Tahu.

Pemimpin dunia dan orang kenamaan juga berkemungkinan menghadiri upacara tersebut selain pemimpin Islam global.

Laporan NZ Herald mengesahkan sekurang-kurangnya seorang kerabat diraja Bri­tain akan menghadiri upacara berkenaan.

Berkemungkinan besar Putera William akan mewakili kerabat diraja Britain berikutan Duches of Sussex, Meghan yang tidak dapat hadir ekoran sarat mengandung.

“Upacara peringatan negara ini memberikan peluang kepada Cantabrian (penduduk Christchurch), rakyat New Zealand dan penduduk seluruh dunia untuk bersatu menghormati mangsa sera­ngan pengganas. Seminggu selepas serangan ganas itu, negara ini menyaksikan ke­sedihan dan luahan kasih sa­yang.

“Upacara ini memberi peluang sekali lagi bagi menunjukkan bahawa rakyat New Zealand penuh dengan kasih sayang dan kepelbagaian serta kita akan melindungi nilai tersebut,” kata Perdana Menteri, Jacinda Ardern dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berlainan, pemain ragbi pasukan kebangsaan New Zealand, Sonny Bill Williams sempat meluangkan masa menziarahi mangsa keganasan dua buah masjid Christchurch di Hospital Christchurch, semalam.

Antara mangsa yang sempat ditemui Williams yang beragama Islam adalah rakyat Malaysia yang sedang mene­rima rawatan, Mohd. Nazril Hisham Omar, 46,.

Williams hadir ke hospital itu ditemani seorang lagi bintang All Blacks, Ofa Tu’ungafasi dan pemain Richmond Tigers, Bachar Houli. – AGENSI