Malah taktik Ari Septian Pratama dari Palembang, Sumatera Selatan itu terbukti berkesan kerana dalam tempoh sebulan penyamaran, dia berjaya memikat seramai 10 wanita.

Lebih memeranjatkan, wanita yang masuk ‘perangkap­nya’ itu termasuklah golongan profesional antaranya doktor selain anggota polis wanita serta jururawat dan kakitangan awam.

Ari Septian lapor Oddity Central sanggup menempah baju seragam polis untuk kelihatan seperti anggota polis sebenar selain menggunakan nama samaran ‘Dr. Julian Saputra’.

Selain itu dia turut memberitahu orang ramai yang dia adalah anak Ketua Polis Da­erah Sulawesi Tenggara dan doktor forensik polis.

Dia juga sanggup menyewa kereta mewah, menabur janji bahawa akan mengahwini wanita yang keluar bersama­nya untuk memperdaya mereka tidur bersama-samanya dan taktiknya berjaya.

“Saya berjanji untuk me­ngahwini mereka malah sejujurnya saya tidak memeras wang mereka tetapi hanya tidur bersama mereka. Sebahagian telah pun bertunang,’’ akui Ari Septian yang kini ditahan oleh pihak polis.

Walau bagaimanapun, seku­rang-kurangnya dua mangsa Ari Septian telah membuat laporan polis bahawa lelaki itu menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan wang mereka melalui penggunaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Semasa sidang media di ibu pejabat polis wilayah Suma­tera Selatan, lelaki itu mengaku melakukan perbuatan tersebut sebagai menyahut cabaran sebuah rancangan popular Big Live

Melalui rancangan itu dia berkata, seseorang telah mencabarnya untuk melakukan perbuatan tersebut selain menawarkan wang berjumlah lima juta rupiah (RM1,447.60) untuk menempah baju seragam dan aksesori polis lain.

Namun Ari Septian berjaya ditangkap selepas salah seorang mangsa merasa curiga lantas bertanya kepada anggota polis sebenar sama ada ‘Dr. Julian Supatra’ bertugas di sebuah hospital di Palembang.

Pihak polis tidak memerlukan masa lama menjejakinya dan berjaya menahan lelaki berkenaan yang ketika itu memakai baju seragam polis di hospital tersebut.