Menurut Pusat Keselamatan Jalan Raya Thailand, seramai 297 orang maut manakala 2,807 lagi cedera dalam tempoh lima hari pertama ‘Tujuh Hari Berbahaya Songkran’.

"Memandu dalam keadaan mabuk meliputi 39.53 peratus daripada kemalangan sementara memandu laju 27.05 peratus," menurut pusat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) berkata, sejumlah 5,318 kenderaan telah dirampas daripada pemandu dan penunggang yang mabuk pada lima hari pertama 'Tujuh Hari Berbahaya'.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan bahawa sejumlah 8,222 kes memandu dalam keadaan mabuk direkodkan sejak 11 April lalu.

Ia berkata seramai 203 pemandu mabuk dipasang peranti Pemantauan Elektronik dan dilarang daripada meninggalkan rumah antara 10 malam dan 4 pagi untuk tempoh tujuh hingga 15 hari di samping perlu melaporkan diri kepada pegawai perunding cara sebanyak empat kali dan melaksanakan perkhidmatan masyarakat selama 24 jam semasa tempoh percubaan selama setahun.

Pusat Keselamatan Jalan Raya berkata, jumlah kemalangan jalan raya, angka kematian dan bilangan orang yang cedera semasa ‘Tujuh Hari Berbahaya’ (11 hingga 17 April) tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lepas.

Ia berkata, sebanyak 2,702 kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh lima hari pertama Songkran tahun ini, menurun 9.7 peratus manakala jumlah kemalangan maut menurun 13.4 peratus manakala mangsa yang cedera turun 9.4 peratus.

Semasa 'Tujuh Hari Berbahaya' Songkran tahun lepas, sejumlah 2,992 kemalangan dengan 343 kematian dan 3,097 kecederaan dilaporkan.

Chiang Mai di utara Thailand mencatatkan 104 kemalangan maut, wilayah yang merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi semasa cuti Songkran diikuti Nakhon Si Thammarat (100) dan Nakhon Ratchasima (82).

Pada hari kelima 'Tujuh Hari Berbahaya' Songkran (15 April), sebanyak 549 kemalangan direkodkan di negara ini dengan 54 orang maut manakala 494 cedera. Lebih 65,000 kakitangan ditugaskan di 2,040 pusat pemeriksaan di seluruh negara bagi memastikan perjalanan yang lancar semasa cuti Songkran.

Setiap tahun, semasa perayaan Songkran (13-15 April), berjuta-juta kenderaan menuju ke kampung halaman mereka dan jumlah kemalangan maut di negara ini akan menyaksikan kenaikan mendadak. Kira-kira 300 hingga 400 kematian dilaporkan semasa ‘Tujuh Hari Berbahaya’. - BERNAMA