Portal Mirror melaporkan insiden berlaku sekitar bulan lepas melibatkan Alana Cutland, 19, melompat keluar pesawat yang ketika itu terbang di ruang udara sekitar kawasan hutan belantara kepulauan tersebut.

Mayatnya dijumpai oleh penduduk asal berdekatan kawasan paya dalam hutan berkenaan.

Penuntut universiti Cambridge tersebut dilaporkan melakukan tindakan sia-sia itu kira-kira 15 minit selepas pesawat memulakan penerbangan.

Menurut polis, juruterbang dan seorang lagi penumpang cuba menghalang Cutland dari melompat keluar namun gagal kerana tidak mampu mengawal keadaan.

Insiden tragis tersebut berlaku pada 25 Julai lalu di sekitar wilayah pedalaman Analalava, utara Madagascar.

Tiada penjelasan diperoleh tentang faktor yang mendorong kepada tindakan remaja tersebut namun wujud spekulasi mengaitkan insiden terbabit dengan tekanan pelajaran yang dihadapinya ketika itu.

Polis turut menyiasat kebarangkalian tindakan luar waras Cutland diakibatkan oleh pengambilan ubat anti-malaria yang kadangkala mencetuskan serangan panik, kebimbangan kronik dan halusinasi dalam diri seseorang.-AGENSI