Channel News Asia melapor­kan, Recep Tayyip menerusi satu program wawancara di sebuah saluran televisyen memberitahu, adalah ‘menjadi kesilapan besar’ apabila menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.

“Bangunan ikonik itu tidak akan lagi digelar sebagai sebuah muzium sebaliknya kita memanggilnya sebagai masjid Hagia Sophia.

“Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia, mereka akan melawat masjid Hagia Sophia,” katanya.

Bangunan tersebut pernah dijadikan gereja dan masjid sebelum ditukar menjadi muzium, selain sering mencetuskan ketegangan antara penduduk beragama Islam dan Kristian berhubung aktiviti keislaman yang dijalankan di premis itu.

Antara aktiviti yang sering dilakukan di Hagia Sophia termasuk solat berjemaah dan membaca al-Quran.

Status sekular yang dipegang Hagia Sophia ketika ini memberi peluang kepada semua penganut pelbagai agama menjadikan premis itu sebagai tempat untuk bermeditasi serta menikmati seni binaan bangunan abad keenam.

Recep Tayyip kini giat berkempen mewakili parti di­terajuinya iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sempena pilihan raya perbandaran 31 Mac ini.

Presiden Turki itu memaklumkan bahawa, rancangan untuk menukar status Hagia Sophia itu akan dibincangkan selepas pilihan raya selesai.

“Kami rasa sudah tiba masanya untuk mengambil langkah itu (menjadikan Hagia Sophia sebagai masjid) kerana ‘permintaan daripada rakyat Turki’,” ujarnya.

Recep Tayyip juga enggan melayan kritikan serta kemarahan masyarakat Kristian berhubung rancangan tersebut kerana katanya, Yahudi turut melakukan perkara sama terhadap kompleks Masjid al-Aqsa di Palestin.

“Berlaku banyak serangan terhadap Masjid al-Aqsa yang Yahudi anggap sebagai kawasan mereka, jadi kenapa perlu me­nimbulkan isu tentang Hagia Sophia?” soalnya. – AGENSI