Mail Online melaporkan, le­laki berusia 37 tahun itu di­sambar kilat semasa dia sedang bekerja di kawasan pembinaan pada 18 September lalu dan mengakibatkannya terjatuh ke atas batang besi tetulang kon­krit tersebut.

Doktor mengambil masa selama tujuh jam bagi mengeluarkan batang besi berkenaan dalam satu pembedahan yang berlangsung semalam.

Menurut laporan Chengdu Business Daily, besi itu menusuk lelaki berkenaan kira-kira satu sentimeter dari duburnya dan menembusi badan sebelum terjulur dari bahu kanannya.

Doktor dari jabatan bedah kardiotorasik Pusat Perubatan China Barat Universiti Sichuan, Dr. Ma Lin berkata, pesakit itu sangat bertuah kerana besi itu tidak merosakkan organ pen­ting dalam badannya.

“Pesakit tidak mengalami kehilangan darah yang banyak dan sistem edaran darahnya didapati baik,” katanya.

Pekerja itu yang namanya tidak di­dedahkan dilapor di­ke­jarkan ke hos­pital dalam kea­daan sedar.

Pakar bedah kardiotorasik, pakar bedah umum dan jabatan urologi bekerjasama me­­lakukan pembedahan tersebut.

“Batang besi itu melalui ruang di antara pundi ken­cing dan usus dan agak mengejutkan, bilah besi itu tidak merosakkan pembuluh darah abdomennya,” jelas Ma.

Sementara itu, lelaki itu kini diletakkan pada unit rawatan rapi bagi pemantauan lanjut dan keadaannya dilaporkan semakin stabil.