Video rakaman itu menunjukkan Azadar Hussain dari portal berita GTV News melaporkan bencana banjir di wilayah Kot Chatta dengan hampir seluruh badannya ditenggelami air dan hanya kepala serta tangannya kelihatan.

Pada mulanya kelihatan agak sukar untuk Azadar bercakap susulan paras air yang tinggi, namun beliau berjaya melaporkan situasi itu dengan baik.

“Penduduk tempatan mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan menangani banjir ketika keadaan sudah semakin teruk.

“Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan penduduk melakukan tunjuk perasaan dan menggesa supaya Ketua Menteri Punjab serta Perdana Menteri, Imran Khan mengambil langkah segera untuk menangani masalah banjir ini,” lapor Azadar seperti yang dipetik Oddity Central.

Video tersebut tular dalam media sosial dan seorang pengguna Twitter menulis ‘tidak mungkin wartawan itu sedang duduk dalam air kerana dia benar-benar menunjukkan keadaan banjir sebenar’.

Usaha dan kegigihan Azadar berbaloi apabila dia menerima banyak pujian daripada pihak antarabangsa kerana berjaya menyampaikan berita secara ‘telus dan melangkaui kea­daan’ untuk disalurkan kepada masyarakat. – AGENSI