Lapor CNN, letupan kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan itu menyaksikan sebuah kawah besar terbentuk di ladang jagung dan polis Jerman dipanggil bagi menyiasat insiden tersebut.

Polis yang tiba di tempat kejadian kemudiannya memeriksa kawah bersaiz 10 meter lebar itu dengan kedalaman tiga meter.

Jurucakap kerajaan tempatan, Johannes Laubach berkata, hasil pemeriksaan pihak berkuasa mengesahkan letupan tersebut berkemungkinan disebabkan oleh bom peningalan perang seberat 249 kilogram yang tidak meletup.

"Dengan adanya depot kereta api di sini, kawasan ini kerap menjadi sasaran serangan bom ketika penghujung Perang Dunia Kedua.

"Namun kami bersyukur kerana tiada peladang yang berada di kawasan ini ketika kejadian berlaku," katanya.

Pakar memberitahu bom yang ditinggalkan 
akan meletup dengan sendirinya selepas peledaknya terurai.

Bom lama sering ditemukan di Jerman dengan ratusan bahan peledak dijumpai setiap tahun.

Pada September tahun lalu, kira-kira 60,000 penduduk di Frankfurt terpaksa dipindahkan apabila sebuah bom seberat 1360 kg ditemukan di kawasan berlenaan.

Pada Mei lepas pula, 50,000 penduduk Hanover dipindahkan selepas sebuah bom ditemukan di lokasi pembinaan.– AGENSI