Lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan hanya mempunyai masa 10 hari untuk hidup ekoran luka-luka yang ada di seluruh tubuhnya mula dijangkiti kuman.

Skeel yang pada mulanya seberat 79 kilogram hanya tinggal 44 kilogram ketika ditemui oleh Polis Bedfordshire ekoran didera oleh teman wanitanya, Jordan Worth yang juga ibu kepada dua anak mereka.

Ketika menceritakan semula kejadian itu dalam rancangan ‘Abused by my Girlfriend’, Skeel memberitahu, dia bertahan sepanjang tempoh itu kerana ‘cintakan gadis itu dan takut akan kehilangan hak penjagaan anak-anaknya.’

Lelaki itu yang kini menjadi jurulatih bola sepak memberitahu, Worth sering menyerangnya dengan tukul besi, pemutar skru, pisau roti dan berus rambut namun ‘senjata’ kegemaran wanita itu adalah air panas.

“Dia akan menunggu saya sepanjang malam dengan secerek air panas dan sekiranya air itu mulai sejuk, dia akan panaskannya semula. Kulit yang melecur tergantung di bahagian lengan dan belakang.

“Dia juga pernah memukul saya berkali-kali dengan berus rambut sehingga gigi saya patah. Disebabkan saya tidak boleh memandu dan tidak mempunyai wang, saya terpaksa mencabutnya sendiri.

“Diserang atau ditikam dengan pemutar skru atau pisau roti sudah menjadi rutin biasa. Kadang-kala ketika sedang tidur, dia akan memukul saya secara tiba-tiba dan saya akan terbangun dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Skeel pernah cuba memutuskan hubungan dengan gadis yang dikenalinya sejak masing-masing berusia 16 tahun, namun selepas memberitahu sedang mengandungkan anak mereka, Worth kembali menemui lelaki itu selepas setahun sambil membawa anak lelaki mereka, Thomas J.

Sarjan Ed Finn dari Balai Bedfordshire menceritakan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada jiran-jiran pasangan itu yang terdengar jeritan Skeel meminta agar wanita itu tidak mengganggunya dan berhenti menyakitinya.

“Ketika kami sampai ke rumah pasangan itu di Stewartby, Bedfordshire, Worth membenarkan kami masuk. Dia kelihatan sangat baik dan sopan.

“Alex yang ditemui di atas tangga dalam keadaan penuh luka akibat kesan tikam dan lecur. Walaupun kami mendapati percikan darah memenuhi bilik mandi utama pasangan itu, Skeel memberitahu kecederaan tersebut adalah akibat kecuaiannya kerana tidak mahu kekasihnya ditahan,” ujar anggota polis itu.

Namun beberapa hari kemudian, pihak polis menerima panggilan kecemasan dari rumah pasangan terbabit.

“Apabila melihatnya berpakaian baju kotor, luka badan yang tidak terkira, kurus dan pucat, saya terus membuat tanggapan dia (Skeel) telah didera,” kata Finn.

Walaupun pada mulanya menolak, Finn akhirnya berjaya memujuk Skeel untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bedford sebelum dipindahkan ke Hospital Addenbrookes.

Ketika menerima rawatan, Skeel yang disahkan mengalami hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam otak akibat trauma teruk pada kepala, akhirnya mendedahkan perkara 
sebenar.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, melalui rakaman kamera badan pihak polis, Skeel dilihat memeluk dan mencium dahi Worth sebelum dibawa ke hospital.

Worth akhirnya ditahan pihak polis selepas disyaki menyerang dan menyebabkan kecederaan parah terhadap teman lelakinya.

Siasatan mendapati bukan sahaja Worth mencederakan Skeel, malah wanita terbabit turut mengawal kehidupan lelaki itu sehingga tidak dibenarkan bekerja dan perlu mengikutnya ke Universiti Hertfordshire.

Tidak cukup dengan itu, Worth yang bakal menjadi guru turut memisahkan Skeel dengan keluarganya dengan tidak membenarkan teman lelakinya itu menghubungi keluarganya walaupun ketika mereka mendapat cahaya mata kedua.

Dalam tempoh ‘pengasingan’ itu, Worth turut membuat akaun Facebook palsu atas nama Skeel dan menghantar mesej-mesej berbaur kebencian terhadap ahli keluarga dan kawan-kawan lelaki terbabit.

Wanita itu turut berbohong kepada Skeel bahawa datuk kesayangannya telah meninggal dunia.

Pada September 2017, Worth didakwa atas 17 pertuduhan termasuk mencederakan dan sengaja mendatangkan kecederaan parah sebelum dihukum penjara tujuh tahun pada April 2018 atas kesemua pertuduhan.

Wanita itu juga menjadi wanita pertama di United Kingdom didakwa dan dihukum atas pertuduhan melakukan perbuatan mengawal atau memaksa seseorang ketika dalam sesuatu hubungan. – DAILYMAIL