Daily Mail melaporkan, pe­nemuan itu melibatkan pertumbuhan payudara seawal usia tiga tahun, bukan sahaja kepada kanak-kanak perempuan, tetapi lelaki.

Penyelidik menjalankan kajian terhadap empat kanak-kanak, paling muda berusia tiga tahun, yang berdepan pertumbuhan payudara secara ‘tidak normal’ dan mendapati mereka selalu menggunakan produk lavender khususnya sabun, syampu dan pencuci pakaian.

NIEHS mendedahkan, ujian lanjut makmal yang diterbitkan dalam Jurnal Endokrinologi dan Metabolisme Klinikal itu turut menunjukkan bahan kimia yang terdapat dalam lavender itu ‘menggalakkan’ hormon wanita estrogen serta menyekat testosteron.

Menurut salah seorang penyelidik, Tyler Ramsey, kanak-kanak tersebut bagaimanapun tidak menunjukkan tanda-tanda lain kematangan.

Sementara itu, Gynecomastia adalah keadaan umum perkembangan tisu payudara pada lelaki, tetapi keadaan ini jarang berlaku sebelum kanak-kanak mencapai tempoh akil baligh.

Dalam kajian itu, kesemua keluarga responden mengaku menggunakan produk berasaskan lavender kepada kanak-kanak berkenaan.

Menjelaskannya mengenai hasil kajian, seorang responden termuda berusia hampir empat tahun yang sering kali dimandikan dengan produk berasaskan lavender dilaporkan mengalami pertumbuhan payudara.

Doktor yang melakukan pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak itu mendapati pembesaran saluran payudara itu adalah bertentangan dengan tisu lemak pada usia itu.

Apabila ibu bapa berhenti menggunakan produk lavender pada kanak-kanak itu, pertumbuhannya berhenti dan tisu pa­yudaranya segera merosot.