Lapor Mail Online, Idris merupakan salah seorang calon yang dijangka memegang watak ter­babit sebaik sahaja Daniel Craig mengundurkan diri selepas filem Bond 25 selesai ditayangkan pada tahun depan.

“Sudah tentu, sekiranya seseorang bertanya kepada saya adakah saya mahu berlakon sebagai James Bond? Saya sukakannya dan ini sesuatu yang menarik untuk saya,“ katanya dalam satu temu bual ringkas bersama majalah Vanity Fair yang bakal diterbitkan pada keluaran Ogos kelak.

Idris turut menga­kui berasa ‘kecil hati’ apabila orang ramai menyatakan watak perisik popular yang diberi jolokan 007 itu ‘tidak boleh’ dibintangi oleh pelakon berkulit hitam.

“Kamu akan berasa sedih apabila mendapat pandangan secara umum seperti itu. Ini mengenai warna kulit saya.

“Sekiranya saya layak meme­gang watak itu dan tidak berhasil atau berhasil, adalah disebabkan oleh warna kulit saya? Ini merupakan satu situasi yang sukar bagi saya,” jelasnya.

Pada Mac lalu, salah seorang pelakon filem Bond 25, Ralph Fiennes berkata, watak 007 tidak sepatutnya bertukar jantina atau dimainkan oleh pelakon berkulit hitam.

Menurut Ralph, pelakon berkulit hitam perlu diberikan filem aksi tersendiri untuk menunjukkan kemam­puan mereka, ‘jauh’ daripada francais James Bond.