Hal ini berikutan daripada tindakan susulan kedua-dua negara yang mana saling mendesak dan menekan antara satu sama lain susulan serangan bom bunuh diri me­ngorbankan 42 tentera India di daerah Pulwama, Kashmir, 14 Februari lalu.

Seterusnya, insiden itu yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah Jaish-e-Mohammad (JeM) yang berpangkalan di Pakistan dipercayai memberi ke­san kepada penduduk Kashmir di India berikutan sentimen anti-Kashmir yang dijaja oleh pihak-pihak tertentu.

LATAR BELAKANG KONFLIK

KASHMIR yang menjadi satu daripada kawasan tercantik di dunia menjadi pertikaian antara India dan Pakistan sejak peme­cahan India pada 1947.

Bahagian selatan dan tenggara wilayah itu membentuk Jammu dan Kashmir dibawah pentadbiran India manakala u­tara dan barat dikawal Pakistan.

Kedua-dua negara itu telah bertempur dalam tiga pepera­ngan untuk mengawal wilayah Kashmir di samping kumpulan pemisah tempatan yang berjuang bagi penggabu­ngan kawasan itu de­ngan Pakistan atau kemerdekaan mereka.

REAKSI INDIA

Serangan bom itu memberi tekanan kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berdepan dengan pilihan raya umum beberapa bulan lagi untuk mengambil pendirian tegas terhadap kejadian berkenaan.

Modi berjanji bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam pengeboman itu ‘akan membayar harga yang cukup mahal’.

Selain itu, India juga mendesak agar Pakistan diletakkan dalam senarai pemantauan negara membiayai keganasan.

Bahkan, mereka merancang untuk menyekat aliran air Su­ngai Indus ke Pakistan sebagai usaha untuk memberi tekanan.

REAKSI PAKISTAN

Pakistan pula bersedia membantu India menyiasat sera­ngan bunuh diri di Kashmir itu namun ia ditolak India yang meminta mereka melakukan tindakan konkrit dan jelas terhadap dalang serangan ber­kenaan.

Perdana Menteri, Imran Khan berkata, mereka akan bertindak balas sekiranya India menye­rang Pakistan dan meminta India memberikan bukti pengli­batan Islamabad dalam serangan tersebut.

Menurutnya, jika terdapat kumpulan militan yang menggunakan tanah Pakistan untuk melancarkan serangan, maka permusuhan itu adalah dengan mereka.

CAMPUR TANGAN ANTARABANGSA

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meminta India dan Pakistan mengambil langkah segera untuk meredakan ke­tegangan semakin memun­cak yang dilihat turut mening­katkan krisis diplomatik dan konflik antara kedua-dua negara tersebut.

Amerika Syarikat (AS) pada masa sama menyatakan soko­ngan kepada India dan meminta Pakistan menghukum dalang di sebalik serangan bom berke­naan.

IMPAK DOMESTIK

Kebanyakan daripada kira-kira 11,000 pelajar Kashmir yang me­nuntut di universiti-universiti India pulang ke kampung halaman mereka pada setiap tahun kerana bimbang dengan serangan ganas jika terus tinggal di India.

Rakaman video penduduk Kashmir dipukul dan menerima cemuhan di bandar-bandar India tular dalam media sosial di samping desakan kumpulan Hindu dan sami untuk bertindak balas ekoran serangan itu.

Meskipun Kementerian Da­lam Negeri India mengarahkan agar kerajaan negeri melin­dungi pelajar-pelajar Kashmir namun beberapa pemimpin politiknya telah membangkitkan secara agresif sentimen anti-Kashmir sejak kejadian pengeboman berkenaan.

Sehubungan itu, hubu­ngan India-Pakistan akan terus tegang sekiranya tiada perbincangan antara kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian mengenai kumpulan pemisah yang menjadi dalang serangan bom terbabit.