Festival Songkran selama tiga hari akan bermula Jumaat ini hingga 15 April, bagaimanapun tahun ini Kabinet bersetuju untuk memanjangkan tempoh cuti sehingga lima hari iaitu dari 12 hingga 16 April.

Kehangatan cuti panjang itu sudah mula dirasakan apabila puluhan ribu warga kota pulang ke kampung masing-masing lebih awal, melalui jalan darat, laut, udara dan kereta api.

Kementerian Pengangkutan Thailand menjangkakan kenderaan di jalan-jalan utama di negara ini akan mencecah 7.6 juta, peningkatan sebanyak 3.43 peratus berbanding tahun lepas.

Terminal bas dan stesen kereta api juga dipenuhi penumpang di Bangkok. Syarikat Pengangkutan Thailand telah menambah perkhidmatan basnya dari 6,000 perjalanan sehari ke 9,000 perjalanan sehari pada waktu puncak bermula esok hingga 13 April untuk warga Thai pulang ke kampung halaman.

Dijangkakan, kira-kira 200,000 penumpang sehari melakukan perjalanan ke pelbagai wilayah di negara ini.

Bagi perjalanan pulang ke Bangkok bermula 14 hingga 17 April, syarikat itu menyediakan 8,100 perjalanan sehari untuk menampung kira-kira 165,000 penumpang sehari.

Sementara itu, enam lapangan terbang utama Thailand dijangka menerima sekitar 3.21 juta penumpang semasa cuti pesta Songkran, dari 11 hingga 17 April ini.

Beribu-ribu pekerja asing dari negara jiran - Laos, Kemboja dan Myanmar - juga dijangka pulang ke kampung halaman mereka untuk menyambut Songkran.

Sementara itu, polis dan pihak berkuasa tempatan di Bangkok juga meningkatkan langkah keselamatan kerana puluhan ribu pelancong asing dijangka memenuhi beberapa jalan utama di bandar ini bagi meraikan Songkran atau pesta air.

Tahun ini, sambutan di Bangkok khususnya di Jalan Khaosan, destinasi bagi pengembara beg galas (backpacker) akan dilakukan dalam skala kecil kerana bandar raya ini sedang membuat persiapan istiadat pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn pada 4 hingga 6 Mei ini. – BERNAMA