Portal Metro.co.uk yang memetik The Sunday Times melaporkan, prosedur yang mengambil masa selama 30 minit, direka khas untuk `memperdaya kitaran biologi wanita’ dengan membuatkan golongan itu merasakan jauh lebih muda berbanding usianya pada ketika ini.

Prosedur itu yang merupakan pertama seumpamanya di dunia, melibatkan proses menyingkirkan sebahagian daripada ovari dan membekukan tisu-tisu berkaitan pada tahap suhu 150 darjah Celsius.

Menurut laporan tersebut, tisu ovari itu kemudiannya disimpan dalam sebuah bank ais sehingga wanita berkenaan mencapai pe­ringkat putus haid, sebelum di­cairkan dan dipindahkan semula ke dalam badan wanita.

Tisu ovari itu akan memulakan hormon semulajadi mereka dan melambatkan proses menopaus.

Bagi wanita yang mengalami menopaus sehingga mengakibatkan masalah kesihatan serius seperti osteoporosis dan masalah jantung, kelewatan putus haid boleh dianggap sebagai berita baik untuk mereka.

Jelas laporan itu, sebanyak sembilan wanita dari Britain berusia antara 22 hingga 36 tahun telah menjalani pembedahan itu.

Seorang ibu yang berusia 34 tahun berkata, beliau tidak berasa sebarang kesakitan ketika pembedahan itu, malah menyifatkan prosedur tersebut sebagai sesuatu yang sangat mudah.

Selain itu, seorang lagi pesa­kit yang menjalani prosedur itu, Dixie-Louise Dexter berkata, tisu ovarinya telah dipindahkan ke dalam badannya dengan segera bagi mencegah menopaus pramatang.

“Prosedur melambatkan menopaus telah mengubah kehidupan saya,” katanya.

Pembedahan itu ditawarkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Birmingham dikenali sebagai ProFaM dan dibiayai bersama empat pakar terkemuka dunia dalam bidang perubatan reproduktif.

Tambah laporan itu, kos prosedur itu mencecah antara 3,000 hingga 7,000 pound (RM15,172 hingga RM35,401). – AGENSI.