Pemimpin yang mengetuai rampasan kuasa tentera itu berkata, apabila senarai dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Raja Thailand untuk perkenan. Prayuth mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand ke-29 pada 11 Jun lepas.

“Sekarang, kami akan memberi tumpuan untuk mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34. Ini adalah keutamaan kami sekarang. Hasil sidang kemuncak adalah sangat penting, “ katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 bertemakan ‘Advancing Partnership for Sustainability’ akan diadakan di Bangkok bermula Khamis ini hingga Ahad.

Media tempatan melaporkan bahawa Prayuth mengalami kesukaran untuk membentuk Kabinetnya kerana beberapa parti gabungannya meminta lebih banyak jawatan dalam Kabinet.

Sekumpulan 13 anggota Parlimen (MP) di selatan menuntut jawatan dalam Kabinet Prayuth manakala sekumpulan 19 ahli Parlimen dari timur laut juga mengancam untuk berpaling tadah dan menyertai pembangkang jika tuntutan mereka ditolak.

Pada 5 Jun lalu, Prayuth yang disokong oleh Palang Pracharath (PPRP) dipilih sebagai Perdana Menteri, lima tahun selepas beliau merampas kuasa dalam rampasan kuasa tentera pada 2014.

Prayuth memperoleh 500 undi, menewaskan pencabarnya dari Barisan Demokratik mengandungi tujuh parti diketuai oleh Thanathorn Juangroongruangkit yang mendapat 244 undi.

Kemenangan Prayuth tidak mengejutkan rakyat Thailand kerana bekas jeneral itu telah mendapat manfaat daripada Dewan Senat mengandungi 250 kerusi yang anggotanya dilantik oleh junta.

Gabungan pimpinan PPRP mempunyai majoriti tipis di Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 kerusi. Barisan Demokratik, yang dipimpin oleh Pheu Thai dan enam parti gabungan mempunyai 246 kerusi. - BERNAMA