Beliau yang juga pemangku ketua parti mengalahkan tiga pencabar berprofil tinggi lain, iaitu Gabenor Bangkok untuk dua penggal Apirat Kosayodhin, bekas anggota parlimen enam penggal dan bekas Menteri Kehakiman, Pirapan Salirathvibhaga dan bekas Menteri Kewangan, Korn Chatikavanij.

Pemilihan parti itu menyaksikan 52 anggota parlimen (yang telah memenangi pilihan raya umum) dan 255 eksekutif parti dan anggota yang pernah menjadi anggota parlimen, menteri atau ketua setiausaha, di samping pemimpin tempatan dan wakil parti mengundi untuk memilih ketua parti.

Jurin memperoleh sejumlah 160 undi - 25 undi daripada anggota parlimen yang dipilih dan135 undi daripada eksekutif dan anggota parti.

Pemilihan diadakan berikutan peletakan jawatan ketua parti itu yang juga bekas perdana menteri, Abhisit Vejjajiva ekoran prestasi buruk parti tersebut dalam pilihan raya umum pada 24 Mac.

Demokrat hanya memenangi 52 daripada 500 kerusi dewan rakyat. Parti itu kalah semua kerusi yang ditandinginya di Bangkok. Dalam pilhan raya umum 2011, ia memenangi 23 daripada 33 kerusi parlimen. Demokrat juga kehilangan pengaruhnya di Selatan Thailand apabila ia hanya menang satu kerusi iaitu Pattani.

Lewat hari ini kepimpinan baharu parti dijangka akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan pendirian parti untuk menyertai gabungan mana - sama ada parti pro-junta Palang Pracharat atau “democratic front” yang dipimpin oleh Pheu Thai - parti yang dikaitkan dengan perdana menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra, berikutan keputusan pilihan raya yang tidak konklusif. - BERNAMA