Lapor Channel News Asia, ini setelah pengundian ditutup pukul 1 petang di seluruh gugusan kepulauan yang mempunyai 17,000 pulau tersebut.

Walaupun laporan rasmi ha­nya akan diketahui bulan depan, beberapa siri hitung cepat atau quick count dibuat lembaga survei menunjukkan Jokowi meninggalkan lawannya itu.

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) meletakkan penyandang Presiden itu mengatasi lawannya dengan 56.7 peratus undian berban­ding Prabowo yang hanya meraih 43.3 peratus undi.

“Kami tidak membuat sebarang dakwaan lagi, data itu dijangka stabil pada kiraan 90 peratus dan staf kami sedang mengesahkannya,” kata Pengarah Eksekutif CSIS, Philips Vermonte,

Selain itu, lembaga survei seperti Saiful Mujani Research Centre, Indo Barometer dan Indikator Politik Indonesia juga menunjukkan Jokowi sedang mendahului lawannya.

Setakat pukul 6 petang, Saiful Mujani Research Centre meletakkan Jokowi 54.92 peratus berbanding Prabowo 45.08 peratus.

Indo Barometer pula menyenaraikan undian Jokowi pada 53.55 peratus berbanding lawannya 46.45 peratus manakala Indikator Politik Indonesia meletakkan Jokowi mendapat 54.38 peratus dan pesaingnya 45.62 peratus.

Lembaga survei itu merupakan antara 40 kumpulan yang mendapat akreditasi Komisi Pemilihan Umum (KPU) untuk melakukan hitung cepat iaitu keputusan tidak rasmi berdasarkan sampel dari pusat pengundian seluruh negara.

Ketika ditanya mengenai keputusan hitung cepat itu, Prabowo berkata, beliau tidak percaya hasil tinjauan dibuat di televisyen kerana lebih mempercayai kiraan menerusi kaedah tinjauan dalaman Badan Pemenangan Nasional (BPN) dan hitung cepat pasukan dalaman.

Menerusi kiraan tinjauan BPN, Prabowo mendapat 55.4 peratus undi manakala hitung cepat menunjukkan beliau memperoleh 52 peratus undi.

Jokowi pula memin­ta penyokong dan rakyat bersabar selain menunggu pengiraan rasmi dikeluarkan KPU walaupun mengungguli keputusan hitung cepat dibuat beberapa lembaga survei.

Tanpa mengumumkan kemenangannya, Jokowi turut meminta rakyat Indonesia kembali bersatu setelah berlaku polarisasi semasa kempen pemilihan umum (Pemilu) meskipun pilihan raya hari ini berlangsung baik dan aman.

“Marilah kita kembali bersatu sebagai saudara sebangsa dan setanah air setelah pilihan raya legislatif dan pilpres. Menjalin, merawat kerukunan kita sebagai saudara sebangsa dan setanah air,” kata Jokowi.

Lebih 192 juta rakyat Indonesia hari ini mengundi di lebih 780,000 pusat pengundian (TPS) setelah proses demokrasi itu membuka tirainya seawal pukul 7 pagi waktu tempatan dengan penduduk wilayah Papua merupakan kumpulan pertama mengundi.

Kira-kira 2 juta anggota tentera dan pertahanan awam dikerahkan bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar, termasuklah di wilayah Papua ketika kuda, gajah, motosikal, bot dan pesawat turut dikerahkan untuk membawa peti undi di seluruh negara.

Pemilu 2019, pertama kali diadakan serentak melibatkan pemilihan 711 anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD) serta anggota dewan legislatif seramai 19,500 orang di lebih 2,000 daerah dan perbandaran. –AGENSI