Jabatan Pengawalan Pencemaran Thailand (PCD) dalam laporan kualiti udaranya melaporkan AQI di Wiang Phang Kham di Daerah Mae Sai Chiang Rai, berada pada bacaan 320 pada pukul 4 petang (waktu tempatan) hari ini, yang merupakan bacaan tertinggi di seluruh negara.

Bacaan AQI di lapan wilayah - Chiang Rai, Chiang Mai, Lampang, Lamphun, Mae Hong Son, Nan, Phrae, Phayao juga ‘amat tidak sihat’ manakala Wilayah Tak pula dalam keadaan ‘tidak sihat’.

Kualiti udara keseluruhan di wilayah utara telah menjadi semakin teruk daripada ‘tidak sihat’ dengan bacaan AQI 187 pada 13 Mac kepada ‘amat tidak sihat’ (AQI 206) semalam.

Paras bacaan AQI 0-25 adalah sangat baik, memuaskan (26-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200) dan amat tidak sihat (melebihi 201).

Mengikut Sistem Pemantauan Kebakaran Thailand, sejumlah 926 titik panas dikesan di negara itu. Imej satelit menunjukkan sejumlah 561 titik panas berada di wilayah utara, di mana Mae Hong Son mencatatkan jumlah tertinggi dengan 104 titik panas.

Manakala sebuah akhbar harian tempatan, The Nation melaporkan Kampus Lampang, Universiti Thammasat, telah membatalkan kelas dan tugas pejabat bermula hari ini sehingga Isnin disebabkan jerebu di kawasan terbabit.

Jerebu telah menjadi masalah tahunan di sembilan wilayah di utara Thailand yang diakibatkan kebakaran hutan, pembakaran terbuka dan juga jerebu melepasi sempadan dari negara jiran Laos dan Myanmar.

Semalam, Penerbangan Bangkok, mengumumkan pembatalan penerbangan sebelah pagi antara Chiang Mai dan Mae Hong Son sehingga Sabtu, disebabkan jarak penglihatan buruk akibat kebakaran hutan di kawasan tersebut.

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Thailand berkata, pembatalan penerbangan di Lapangan Terbang Mae Hong Son diteruskan semula operasinya pada jam-jam berikutnya, kerana penglihatan buruk kerap berlaku di awal pagi. – BERNAMA