Agensi berita Antara mela­porkan, pihak berkuasa menga­rahkan penduduk tempatan kekal berada di rumah bagi mengelak daripada terkena penyakit berkaitan jerebu.

“Sekurang-kurangnya 10,000 topeng muka telah diagihkan kepada orang awam secara percuma,” kata Setiausaha Pegawai Kesihatan Riau, Yohanes.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) , jerebut mengakibatkan jarak penglihatan di daerah itu hanya tinggal 1.5 kilometer.

Seorang penduduk mukim Lima Puluh, Kota Pekanbaru, Wati, berkata, dua di antara tiga anaknya menderita batuk-batuk sejak dua hari lalu dipercayai akibat jerebu.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 55 syarikat di negara ini yang memiliki hak pengurusan tanah dan hutan diberikan amaran oleh kerajaan apabila tanah mereka dikenal pasti mempunyai titik panas menyumbang kepada kebakaran hutan ketika ini.

Portal Republika yang memetik Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar melaporkan, sepanjang dua bulan lalu, kerajaan Indonesia mengeluarkan surat amaran terhadap kesemua syarikat tersebut dengan 26 daripada 55 syarikat itu berada di wilayah Riau.

Tambah Siti Nurbaya, 55 syarikat yang diberi amaran itu, didapati telah mengusahakan tanah melibatkan beberapa jenis konsesi antaranya Hak Pengusahaan Tanah (HPH), Hutan Perladangan Perindustrian (HTI) dan Hak Penanaman Tanaman (HGU).

“Perkara ini membimbangkan saya sejak Rabu lalu kerana bacaan titik panas negara sudah melebihi 500. Biasanya jika telah mencapai 500, saya akan rasa bimbang. Kalau Riau sudah mencapai bacaan titik panas 80, saya juga berasa bimbang,” katanya. – AGENSI