Kejadian itu berlaku ketika Sibolga sibuk membuat persiapan untuk menerima kunju­ngan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, Ahad ini.

Lapor Jakarta Post, Ketua Biro Informasi Awam, Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu berlaku ketika pasukan polis berunding supaya isteri dan anak lelaki pengganas itu menyerah diri kepada polis.

Dedi berkata, pasukan polis turut meminta bantuan Husein yang merupakan anggota militan Jemaah Ansharut Daulah (JAD) untuk memujuk mereka supaya menyerah diri dengan menggunakan pembesar suara masjid.

“Ini saya, saya dalam keadaan baik di sini. Tolong serah diri, sayang anak-anak kita,” kata Husein dalam bahasa tempatan.

Dedi menambah, salah seorang anggota polis turut tercedera apabila isteri suspek mencampak bahan letupan ke arah pasukan keselamatan yang sedang mengepung kediamannya hampir 12 jam.

Menurut media tempatan, polis menemukan kira-kira 30 kilogram bahan letupan di kawasan berkenaan.

Setakat ini, polis tidak mendedahkan umur anak suspek yang mati dalam kejadian itu. – AGENSI