Berdasarkan laporan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada 2018, Israel membunuh sebanyak 59 orang kanak-kanak Palestin tahun lalu.

Lapor Palestine News Network, Laporan itu yang dihantar ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyatakan, kematian dan kecederaan kanak-kanak Palestin diakibatkan Israel kebanyakannya oleh tentera mencecah rekod ter­tinggi pada 2018.

Laporan itu menunjukkan sebanyak 56 kanak-kanak Palestin dibunuh oleh tentera Israel manakala 2,756 lagi cedera tahun lalu.

Guterres sehubungan itu menggesa Israel segera mengambil langkah pencegahan dan perlindungan bagi menghentikan penggunaan kekerasan yang berlebihan dan rakyat Palestin perlu menggalakkan anak-anak daripada terlibat dalam keganasan.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk keganasan terbaharu Israel terhadap rakyat Palestin dan mendakwa Ankara akan menentang mana-mana pihak yang menyokong rejim Tel Aviv.

“Sesiapa yang memihak Israel, biar semua orang tahu bahawa kita menentang mereka. Kita tidak akan membiarkan keganasan Israel di Palestin,” tegasnya.

Kenyataan itu dibuat ketika gelombang baharu tindakan keras Israel dalam wilayah penempatan haram dengan memusnahkan rumah-rumah di Kampung Sur Baher di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.

Bagaimanapun, Israel men­dakwa bangunan itu dibina secara haram dan terlalu hampir dengan tembok pemisah antara kedua-dua wilayah.

Dalam perkembangan lain, lapor agensi berita Wafa, Timbalan Pengerusi Pergerakan Fatah, Mahmoud al-Aloul memberitahu, kepimpinan Palestin memutuskan untuk menggantung semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Israel.– AGENSi