Channel News Asia mela­porkan, foto tersebut menunjukkan seorang lelaki berkulit hitam diikat menggunakan tali dan dipaksa berjalan kaki di jalan raya oleh dua pegawai polis berkuda yang berada di hadapan suspek.

DONALD NEELY diikat dengan tali dan dipaksa berjalan kaki ke balai
DONALD NEELY diikat dengan tali dan dipaksa berjalan kaki ke balai polis dengan diiringi oleh anggota polis berkuda di bandar Galveston, Texas, Amerika Syarikat, baru-baru ini. – AGENSI 

Insiden itu sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai dan mengi­ngatkan kembali sejarah gelap membabitkan perlakuan berunsur perkauman terhadap golongan berkulit hitam di negara ini pada masa lalu.

Ketua Polis bandar Galveston, Vernon Hale memaklumkan suspek berkenaan, Donald Neely yang ditahan pada 3 Ogos lalu atas kesalahan menceroboh, terpaksa diiringi oleh unit polis berkuda berikutan ketiadaan kereta polis pada waktu itu.

"Walaupun itu adalah teknik terlatih dan amalan terbaik dalam sesete­ngah keadaan, saya percaya pegawai kami menunjukkan perkara yang kurang baik.

"Saya perlu memohon maaf kepada Neely atas tindakan memalukan dirinya itu dan dasar tersebut telah ditukar dan tidak lagi diguna pakai,” kata Hale.

Bagaimanapun, kenyataan maaf itu hanya mencetuskan kekecewaan dalam kalangan kumpulan aktivis yang me­nyatakan respon Hale adalah 'lemah’ selain mendesak dua anggota terbabit dipecat atau dikenakan tindakan tegas.

"Ini adalah tahun 2019 dan bukannya 1819," kata Presiden The National Association for the Advancement of Colored People (NAACP) cawangan Houston, James Douglas. – AGENSI