Pihak berkuasa Indonesia kini tidak lagi berselindung akan kemungkinan berlakunya gempa megathrust, berkekuatan magnitud melebihi 9 Skala Richter.

Terakhir gempa megathrust berlaku pada 2004, bermagnitud 9.1 hingga 9.3 Skala Richter, yang mencetuskan tsunami, memusnahkan Aceh, mengorbankan beratus ribu nyawa.

Pakar gempa dan tsunami Badan Pengkajian Penerapan Teknologi (BPPT) Widjo Kongko

berkata gempa megathrust boleh berlaku berikutan pergerakan aktif dan pergeseran plat Indo- Australia dan Eurasia ketika ini.

Widjo Kongko dipetik media tempatan sebagai berkata bahawa sekiranya berlaku gempa megathrust melebihi 9 Skala Richter di Selat Sunda, ia boleh mencetuskan tsunami setinggi sehingga 57 meter.

“Potensi tsunami setinggi 57 meter di Kabupaten Pandeglang, Banten. Tsunami ini juga berpotensi akan mencapai Jakarta Utara. Namun, itu semua masih bersifat kajian awal kami,” katanya.

Ketua Pusat Data, Informasi, dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BPNB) Agus Wibowo berkata Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan BPNB untuk membangunkan hutan pantai atau tanaman bakau, di kawasan- kawasan yang berpotensi besar terkena impak gempa megathtust itu.

Presiden Jokowi pada Julai lepas turut mengarahkan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) menyalurkan maklumat lengkap dan cepat berkaitan gempa kepada orang awam.

Jokowi dipetik agensi Antara, berkata, penyaluran apa jua maklumat berkaitan gempa, bukanlah bertujuan untuk meresahkan masyarakat, tetapi agar masyarakat mendapat maklumat dan berpengetahuan berhubung ancaman itu. - BERNAMA