RUU Wanita Islam (Perlin­dungan Hak dalam Perkahwinan) 2019, melarang perceraian dengan melafazkan talak tiga dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun terhadap pesalah.

Kerajaan nasionalis India meneruskan RUU itu walaupun mendapat tentangan parti pembangkang selain kegagalan membawa perkara itu ke Dewan Negara sebelum ini.

Perdana Menteri, Narendra Modi berkata, India akhirnya berjaya memansuhkan amalan kuno serta membetulkan kesa­lahan sejarah penindasan yang dilakukan terhadap golongan wanita Islam.

“Ini adalah kemenangan dan keadilan kepada konsep kesamarataan jantina di India,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter, semalam.

Pada 22 Ogos 2017, Mah­­kamah Agung India me­me­rintah­kan supaya amalan perceraian tersebut tidak lagi diamalkan selepas mendapati ia tidak mengikut Perlembagaan dan ajaran Islam serta meminta kerajaan menjadikannya sebagai undang-undang.

Sementara itu, ahli Parlimen pembangkang dari Parti All India Majlis-e-Ittehadul Muslimeen, Asaduddin Owaisi mendakwa, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diterajui Modi dilihat hanya menyasarkan umat Islam ketika beliau gagal membawa pembaharuan kepada masyarakat Hindu di India.

Lapor Channel News Asia, BJP berdepan kritikan selepas didakwa berat sebelah terhadap golongan minoriti Islam, namun dakwaan itu dinafikan BJP. – AFP/AGENSI