Kenyataan itu dilontarkan oleh Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) ketika mengadakan latihan simulasi di wilayah berkenaan semalam.

BNPB telah menjalankan Eks­pedisi Desa Tangguh Bencana (Destana) di 512 buah kampung yang mudah terjejas kerana bencana, bermula dari Banyuwangi ke Serang sejak awal bulan lalu.

Lapor BBC Indonesia, simulasi yang disertai oleh kebanyakan suri rumah itu memberi manfaat tentang cara untuk menyelamatkan diri ketika berdepan tsunami atau gempa bumi.

Menurut Naib Pencegahan BNPB, Lilik Kurniawan, penduduk tempatan belum bersedia menghadapi bencana tsunami berikutan aspek perancangan perumahan yang tidak teratur serta faktor sosial.

“Contohnya di Labuan, sejumlah penduduk tempatan masih tinggal dan melakukan kegiatan seharian di kawasan berdekatan pinggir pantai. Berdasarkan undang-undang, jarak antara penempatan rumah dan pinggir pantai adalah 100 meter dari titik air pasang paling tinggi ke arah daratan,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Dede, me­ngakui panik dan tidak berfikir sama sekali untuk berlindung di pusat perlindungan yang disediakan oleh pihak berkuasa ketika kejadian gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter di wilayah itu pada awal bulan ini.

“Ketika itu semua orang berlari dalam keadaan panik. Jadi fikiran sudah menerawang. Kini kami tahu kami perlu datang ke pusat perlindungan ini sekiranya berlaku sebarang bencana,” katanya.

Pusat perlindungan ber­kenaan yang mula dibina pada 2014, dalam keadaan terbiar ekoran terpalit dengan kes ra­suah sewaktu proses pembinaannya.

Dinding bangunan itu kotor gara-gara perbuatan vanda­lisme dan tiada bekalan elektrik pada waktu malam.

Menurut Dede, dia berharap bangunan itu akan dilengkapi bekalan elektrik dan air bersih pada masa akan datang.