Jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata, sebanyak 32,000 anggota polis dan anggota tentera ditempatkan di kawasan utama di Jakarta bagi membendung sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Polis turut dilengkapi dengan beberapa peralatan termasuk gas pemedih mata dan meriam air, namun tiada peluru hidup digunakan.

“Pasukan keselamatan tidak akan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan jika berlaku sebarang demonstrasi,” katanya.

Dalam pada itu, perbicaraan hari ini memberi fokus kepada sesi pendengaran hujah penolakan keputusan pilihan raya umum (Pemilu) daripada calon pemohon.

Kompas melaporkan, calon yang menentang keputusan tersebut adalah Prabowo Subianto dan gandingannya, Sandiaga Uno namun kedua-duanya tidak hadir.

Perbicaraan dimulakan pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan diadakan secara terbuka, namun hanya segelintir yang dibenarkan masuk ke mahkamah,

Masyarakat juga boleh mengikuti sesi perbicaraan menerusi YouTube ‘Mahkamah Konstitusi RI’, selain siaran langsung yang akan disiarkan melalui televisyen.

Sesi perbicaraan itu merupakan pendahuluan dalam proses meneliti butiran permohonan dan semua pihak dinasihatkan supaya memeriksa hujah mereka.

Perbicaraan berikut dijangka diadakan pada 17 hingga 21 Jun ini sebelum sesi perbicaraan terakhir dijangka berlangsung pada 28 Jun 2019.

Sementara itu, pasukan perundangan Prabowo-Sandiaga meminta hakim Perlembagaan supaya mengadakan pengundian ulangan di 12 daerah.

“Kami memohon MK memerintahkan termohon untuk melaksanakan pengundian semula secara jujur dan adil di sebahagian wilayah Indonesia,” kata jurucakap pasukan Prabowo, Bambang Widjojanto.

Ketua pasukan undang-undang Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin, Yusril Ihza berkata, semua usul dan hujah permohonan yang dikemukakan oleh Prabowo-Sandiaga adalah mudah untuk ‘dipatahkan’.

Ini kerana, semua hujah itu hanya berdasarkan andaian dan bukannya bukti kukuh. – AFP/AGENSI