Panglima Angkatan Tentera Thailand, Apirat Kongsompong berkata, angkatan tentera akan sentiasa bersama rakyat untuk melindungi negara dan monarki.

"Tentera Diraja Thailand adalah profesional. Kita tidak akan membenarkan rakyat memerangi perbezaan mereka di jalanan," katanya kepada anggota media asing di Markas Tentera Thailand di sini hari ini.

Apirat menggesa rakyat Thailand untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya yang dijangka diketahui pada 9 Mei ini.

"Ada yang menang dan ada yang kalah dalam mana-mana pilihan raya. Oleh itu, kita mesti menghormati keputusan muktamad. Buat masa ini, kita tunggu sahaja.

"Kita tidak seharusnya membiarkan sesetengah pihak menimbulkan konflik dan memecahbelahkan perpaduan rakyat Thailand, " katanya sambil menambah bahawa parti-parti politik perlu menyelesaikan perbalahan mereka menerusi perlembagaan negara.

Apirat menggesa semua ahli politik untuk menghormati pemerintahan demokrasi negara dengan raja sebagai ketua negara.

Selepas pilihan raya yang ditunggu-tunggu sejak rampasan kuasa tentera 2014 pada 24 Mac lalu, Parti Palang Pracharath, pro junta yang menyokong Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan-o-cha dan 'Barisan Demokratik' diketuai oleh Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mendakwa mencapai kemenangan. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengesahkan keputusan muktamad pada 9 Mei.

Apirat yang merupakan salah seorang daripada 250 anggota Senat bersama 500 anggota Parlimen yasng akan mengundi bagi pemilihan Perdana Menteri seterusnya berkata, pihaknya akan memberi undi kepada ahli politik yang jujur yang boleh mentadbir negara dengan cara yang baik.

"Saya sudah pun mempunyai calon yang terbaik. Mungkin bukan seorang tetapi dua atau tiga orang, semuanya bergantung kepada keputusan pada 9 Mei. Saya akan memilih yang terbaik, " katanya.

Apirat merujuk kepada kenyataan Raja Maha Vajiralongkorn menjelang pilihan raya yang mengimbas kembali komen yang dibuat oleh ayahanda baginda tentang perlunya meletakkan 'orang yang beramanah memegang tampuk kuasa dan menghalang anasir-anasir yang tidak diingini daripada mencetuskan kekacauan'.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya bagi 350 kerusi, Pheu Thai memenangi 137 kerusi, Palang Pracharath (97), Parti Bhumjaithai (39), Demokrat (33) dan Future Forward (30).

Mengenai undi popular, Parti Palang Pracharath yang pro-junta memperoleh 8.4 juta undi dari 350 kawasan pilihan raya manakala Pheu Thai 7,920,630 undi, diikuti oleh Future Forward (6,265,950 undi), Demokrat (3,947,726 undi) dan Bhumjaithai (3,732,883 undi). - BERNAMA