Serangan di barat bandar Ka­bul yang didiami majoriti penganut Syiah berlaku ketika Washington dan kumpulan Taliban memasuki peringkat akhir rundingan bagi mengurangkan kehadiran tentera Amerika Sya­rikat (AS) di Afghanistan.

Taliban bagaimanapun menafikan terlibat dalam serangan kira-kira pukul 10.40 malam waktu tempatan itu, keganasan terburuk sejak beberapa bulan lalu di negara ini.

Channel News Asia yang memetik jurucakap Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Nasrat Rahimi sebagai berkata, kejadian kira-kira pukul 10.40 malam waktu tempatan itu berlaku ketika hampir 1,000 tetamu sudah tiba di dewan perkahwinan itu.

Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar yang merakamkan mayat mangsa bergelimpangan di dewan majlis perkahwinan itu.

“Sekurang-kurangnya 63 orang maut manakala 182 cedera. Wanita dan kanak-kanak merupakan antara mangsa yang cedera,” katanya.

Setakat ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab berhubung insiden itu.

Majlis perkahwinan itu dipercayai menjadi perhimpunan penganut Syiah dan kumpulan terbabit kerap menjadi mangsa serangan penganut Sunnah Afghanistan.

Seorang saksi, Mohammad Farhag memberitahu, ketika kejadian dia berada di ruang wanita dan mendengar bunyi letupan kuat di ruangan lelaki.

“Saya lihat orang ramai mula lari sambil menjerit dan menangis. Selama 20 minit dewan perkahwinan itu dipenuhi asap,” katanya.

Tambahnya, selepas dua jam letupan itu, dia melihat pasukan perubatan masih mengeluarkan mayat dari dewan perkahwinan berke­naan.

Sementara itu, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani menyifatkan serangan itu sebagai kejam dan tidak berperi kemanusiaan.

Dalam satu mesej kepada media, seorang jurucakap Ta­liban, Zabiullah Mujaheed me­ngutuk serangan dan menegaskan kezaliman terhadap golongan wanita dan kanak-kanak adalah tidak wajar.

Serangan itu berlaku 10 hari selepas letupan di luar sebuah balai polis di Kabul yang mengorbankan kira-kira 14 nyawa selain mencederakan lebih 150 orang. – AGENSI