Mail Online melaporkan, budak lelaki berusia tujuh tahun itu yang dikenali sebagai Ravindranath dikejarkan ke hospital berhampiran rumahnya selepas mengalami bengkak pada rahang mulut.

Hasil imbasan mendapati dia mempunyai ratusan batang gigi di bahagian bawah, kanan dan kiri rahang, sekali gus menyebabkan doktor membuat keputusan untuk melakukan pembedahan bagi membuang kesemua gigi berkenaan.

Sepasukan doktor berjaya membuang kira-kira 526 batang gigi daripada mulut Ravin­­­d­ranath dan pembedahan itu berlangsung selama lima jam di sebuah hospital di sini.

Ketua pembedahan, Dr. Senthilnathan berkata, kesemua gigi yang dibuang itu tidak terbentuk sempurna dan mempunyai saiz yang berbeza antara 0.1 mili­meter sehingga 15 milimeter.

“Gigi-gigi tersebut kelihatan seperti mutiara di dalam tiram. Gigi yang bersaiz paling kecil juga mempunyai akar dan enamel seperti gigi sebenar.

“Kesemua gigi tersebut dianggarkan seberat 200 gram,” katanya.

Bapa kanak-kanak tersebut, Parbhu berkata, rahang anaknya mula membengkak ketika Ravindranath berusia tiga tahun.

Sikap anaknya yang ‘sukar duduk diam’ menyebabkan mereka tidak melakukan pemeriksaan di hospital sehingga keadaan menjadi semakin teruk.

Doktor memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut tidak perlu menjalani pembedahan menstruktur semula rahangnya, selain tidak memberitahu jenis tumor yang dialami oleh Ravindranath.

Kes sama pernah berlaku pada 2014 apabila seorang remaja berusia 17 tahun menjalani pembedahan bagi membuang 232 batang gigi. – AGENSI