Berpandukan slogan ‘Berge­rak ke depan untuk demokrasi’, bekas ketua parti tersebut, Preechapol Phongpanich menyuarakan kesediaan untuk berkempen bagi mengembalikan sepenuhnya amalan demokrasi di negara yang memiliki ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Pegawai strateginya, Chaturon Chaisang berkata, mereka akan mengkaji undang-undang pilihan raya bagi melakukan tindakan yang dibenarkan demi memastikan matlamat dapat dicapai.

Mahkamah pada Khamis lalu mengarah pembubaran parti berkenaan susulan pencalonan Puteri Ubolratana mewaki­li Thai Raksa Chart untuk me­rebut jawatan Perdana Menteri.

Pencalonan itu disifatkan sebagai satu bentuk penentangan terhadap sistem monarki berperlembagaan negara.

Pencalonan Puteri Ubolratana itu dibuat pada hari yang sama dengan titah Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn yang menyentuh tentang hala­ngan kerabat diraja melibatkan diri dalam hal ehwal politik Thailand.

Parti itu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, sama seperti parti pembangkang terbesar, Pheu Thai.

Parti Pheu Thai tidak mele­takkan calon di semua kawasan.

Sebagai strategi untuk menarik lebih undi bagi parti gerakan sekutu Thaksin itu, bekas wakil Thai Raksa Chart akan bertindak lompat ke dalam parti Pheu Thai, dan mengisi kekosongan tersebut.

Ahli parti yang dibubarkan itu menasihatkan penyokong­nya agar membuat pilihan tidak mengundi untuk memberi laluan proses undi semula di kawasan yang paling ba­nyak merekodkan tiada undian dibuat.

Parti Pheu Thai kemudian berpeluang meletakkan calon di kawasan-kawasan tersebut.

Pilihan raya Thailand akan berlangsung 24 Mac depan, selepas lima tahun tampuk pemerintahan dikuasai kuasa ketenteraan.

Dalam pada itu, Ketua Parti Prachachat yang juga pemimpin agama Islam terkenal Thailand, Wan Muhammad Nor Matha mengumumkan pencalonannya untuk jawatan Perdana Menteri pada 13 Februari yang lalu.

Beliau berjanji untuk mengembalikan kekuasaan autonomi secara sepenuhnya bagi pemerintahan di wilayah-wilayah di selatan Thai.

Wan Muhammad mempu­nyai latar belakang politik yang luas dan pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di tiga kementerian berbeza.