Ekoran kejadian itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komissioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihak polis telah merekodkan keterangan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian bendera Malaysia dipasang secara terbalik di pekarangan rumah ayahnya di Teluk Air Tawar, di sini hari ini.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian bendera di pasang terbalik itu kira-kira pukul 3 petang hari ini.

"Ketika pihak polis tiba di rumah berkenaan orang ramai didapati berkumpul di pekarangan rumah tersebut.

"Polis telah mengambil tindakan menurunkan bendera itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, daripada siasatan awal wanita berusia 61 tahun itu memaklumkan dia berada di situ untuk membersihkan kediaman milik ayahnya.

"Wanita ini memberitahu ayahnya tiada di rumah kerana sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak selepas diserang sakit jantung,"katanya.

Tambah Noorzainy, wanita itu memberitahu ayahnya yang juga seorang pesara polis berusia 89 tahun memaklumkan bendera itu telah dipasang oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. - UTUSAN ONLINE